Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
KUALA LUMPUR: Dakwaan kononnya beberapa ahli Jawatankuasa Kira-kira
Wang Negara (PAC) sama ada pihak pembangkang mahupun Barisan Nasional
(BN) memboikot mesyuarat tersebut pada hari ini dinafikan seorang
daripada ahli jawatankuasanya, Datuk Takiyuddin Hassan.
Ujar Takiyuddin, AJK (pembangkang dan BN) yang tidak menghadiri
beberapa kali mesyuarat itu sebelum in terikat dengan komitmen lain dan
bukannya memboikot seperti yang dilapor media harini.
Takiyuddin turut menjelaskan ketidakhadirannya pada mesyuarat PAC pagi
tadi disebabkan beliau menunggu giliran untuk membawakan usul di dalam
Dewan Rakyat.
"Tidak ada boikot. Pembangkang jika tak pergi (mesyuarat) ada sebabnya.
Seperti saya sudah dua kali tak pergi pada 11 dan 12 September lalu
sebab ada urusan di luar negara. Begitu juga yang lain, tidak timbul
boikot," katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Terdahulu dilaporkan beberapa ahli jawatankuasa PAC dari pihak
pembangkang dan BN akan memulaukan mesyuarat berkenaan yang berlangsung
pada pagi ini, ekoran dakwaan berlaku perbezaan pendapat dengan
ketuanya, Datuk Hasan Ariffin.
Dikatakan mereka secara berterusan tidak hadir apabila PAC bermesyuarat sepanjang April hingga Oktober.
Kononnya pemulauan itu berpunca daripada keputusan Hasan yang secara
unilateral memadamkan ayat utama dalam laporan PAC mengenai siasatan ke
atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selepas ia secara kolektif
diluluskan.
Ujar Takiyuddin lagi, PAC buat masa ini adalah bebas dan tidak terikat
pada mana-mana pihak dalam melakukan siasatan bersabit aliran kewangan
dana kerajaan.
"Mesyuarat PAC bebas, boleh menyoal apa sahaja kepada agensi yang
dipanggil berdasarkan teguran Audit Negara. Pembangkang akan persoalkan
mengapa ia berlaku, mungkin ada pihak yang bersekongkol untuk melanggar
peraturan, itu yang kita soal.
"Itu platform terbaik untuk menyatakan pendirian dan mendapatkan
maklumat. Mengapa kena boikot? Pada saya tidak timbul isu boikot
Mesyuarat PAC," kata Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan