HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Oktober 2016

Pendirian KEADILAN mengenai pindaan RUU 355

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

WAWI


Mengangkat prinsip keadilan

KEADILAN sebagai sebuah wadah perjuangan sentiasa mengangkat dan memperjuangkan prinsip keadilan, kemanusiaan dan berdasarkan nilai-nilai Islam sebagai “rahmatan lil ‘alamin.”

Usaha memperkasakan undang-undang syariah bagi umat Islam perlu diteruskan dengan hikmah dan penjelasan teliti kepada rakyat.

Pasca kemerdekaan, usaha memartabatkan syariah telah pun diusahakan secara bertahap mencakup langkah memperkukuh institusi agama seperti zakat, dan dakwah serta memperluas peranan Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri.

Dari sudut perundangan dan hukum, negeri Kelantan di bawah pimpinan al-marhum Datuk Seri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menambah peruntukan dan bidang kuasa beberapa aspek syariah dan takzir dalam Enakmen tahun 1993.

Di peringkat Persekutuan, atas inisiatif al-marhum Tan Sri Datuk Profesor Ahmad Ibrahim dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dikemukakan peruntukan Perlembagaan Perkara 121 (1A) bagi mengangkat kedudukan Mahkamah Syariah tanpa menjejaskan hak bukan Islam merujuk kes ke mahkamah sivil. Perlu dijelaskan bahawa rang undang-undang tersebut telah dibincang oleh Badan Perunding Islam, Pusat Islam dan kabinet.

Kursus Diploma bagi kadi-kadi juga diperkenalkan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bagi menyediakan mereka dengan kaedah perundangan dan kesaksian.

Langkah susulan kerajaan negeri

Kerajaan-kerajaan negeri perlu mengambil langkah susulan. Ini dilakukan di Negeri Selangor dengan penambahan peruntukan dan beberapa langkah mengukuh institusi agama termasuk tindakan progresif Mahkamah Syariah Selangor yang melantik dua orang hakim wanita Mahkamah Tinggi Syariah dan empat penolong pendaftar Mahkamah Rendah Syariah demi memastikan kelancaran perundangan syariah.

Langkah sedemikian perlu diteruskan bagi memantapkan institusi kehakiman syariah selaras dengan tugas yang bertambah. Namun masih terdapat kelemahan yang perlu di atasi.

Di antara yang dikenal pasti adalah skim dan elaun hakim mahkamah syariah yang agak jauh ketinggalan dengan hakim mahkamah sivil.

Hal tersebut didedahkan oleh Datuk Dr Hj Mohd Na’im Mokhtar, Ketua Hakim Mahkamah Syariah Selangor, bahawa seorang Hakim Mahkamah Syariah menerima gaji mendengar kes penjagaan anak hanya RM6,000 manakala hakim mahkamah sivil yang mendengar kes yang sama menerima gaji RM40,000.

Perbedaan gaji boleh diterima berdasarkan pengalaman yang berbeda tetapi jurang sedemikian dianggap tidak munasabah.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah menambah peruntukan dua kali ganda daripada jumlah sebelumnya.

Namun terdapat keterbatasan dan kelemahan dalam pelaksanaan keputusan Mahkamah Syariah tanpa tindakan yang diambil oleh kerajaan Persekutuan.

Hal yang sama berlaku, terutama kerajaan Kelantan yang menambah kuasa Mahkamah Syariah seperti dalam Enakmen 1993.

Jabatan Kehakiman Syariah Pulau Pinang mendedahkan kepincangan malah pelanggaran prinsip hukuman dan layanan terhadap pesalah kerana diletakkan di penjara bersama banduan kesalahan sivil dan jenayah lainnya seperti kesalahan dadah, rogol, merompak dan lain-lain. Pesalah dalam kes Syariah patut dibezakan kerana penekanannya adalah pendidikan dan keinsafan.

Mengenal pasti dan memperbaiki kelemahan

Beberapa kelemahan lain dalam undang-undang Syariah dan pelaksanaannya perlu dikenal pasti dan diperbaiki. Terdapat peruntukan menghalang pendakwah berkelayakan atas alasan tauliah sejati yang melibatkan Ustaz Mat Isa Deraman; Mufti Negeri Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin; Ustaz Abdullah Yassin dan lebih serius dengan hukuman setahun penjara ke atas Ustaz Rasul Dahri.

Apa yang perlu dilarang adalah ajaran sesat; anjuran keganasan tetapi kegiatan dakwah sihat tidak wajar dihindari. Selain itu, kelemahan menonjol adalah kedudukan dan bidang kuasa Ketua Pendakwa Syariah yang kini merupakan seorang pegawai jabatan dan di Wilayah Persekutuan masih bertugas di bawah Ketua Pengarah Jabatan dan Menteri Agama. Ketua Pendakwa harus bebas daripada sudut undang-undang dan kuasa seperti kedudukan Peguam Negara.

Jika tidak, keputusan beliau akan dicurigai sepertimana yang diajukan ke Mahkamah Syariah Kehakiman oleh Saudara Anwar Ibrahim. Laporan qazaf yang beliau kemukakan sejak tahun 2008, tidak diambil tindakan oleh Ketua Pendakwa Syariah. Berlarutan di mahkamah, kes ini membahaskan soal teknikal tetapi mengapa Ketua Pendakwa enggan mendakwa.

Kecelaruan kefahaman RUU 355

Kami memahami dan menghormati aspirasi sebahagian besar masyarakat Islam dalam negara ini menghendaki sistem perundangan Islam diperkasakan. Kami juga mengambil maklum tindakan pihak Pas melalui rang undang-undang (RUU) persendirian yang dicadang oleh Ahli Parlimen Marang adalah berniat untuk memartabatkan mahkamah syariah.

RUU persendirian ini mencadangkan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) supaya had hukuman yang sedia ada untuk kesalahan-kesalahan berkaitan dengan lunas-lunas Islam, iaitu tiga tahun penjara, lima ribu ringgit denda dan enam sebatan dibatalkan dan mahkamah syariah dibenarkan memberi hukuman selaras dengan undang-undang syariah kecuali hukuman mati.

Sebelum ini, peruntukan tersebut tidak membayangkan hasrat pelaksanaan hukum hudud selain penambahan hukuman dan bidang kuasa Mahkamah Syariah. Kami difahamkan bahawa RUU 355 telah dirujuk ke Jawatankuasa Teknikal bersama di antara wakil Persekutuan (Umno) dan Kelantan (Pas).

Tiada maklumat diberikan kepada umum mengenai perkembangannya. Tetapi Ogos lalu, seorang ahli Jawatankuasa Teknikal Hudud peringkat Pusat, Profesor Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz menganggap RUU 355 tiada dalam “road map” yang dibincangkan Jawatankuasa Teknikal. Beliau berpendapat RUU sedemikian harus dibentang oleh kerajaan yang memerintah, dan bukan RUU persendirian.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menolak tanggapan bahawa RUU 355 itu adalah hudud.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan bahawa RUU 355 tiada kaitan dengan hudud.

Beberapa tokoh politik bukan Islam daripada Barisan Nasional dan DAP membantah kerana menganggap RUU 355 bertentangan dengan prinsip Perlembagaan. Pemimpin Negeri Sabah, dan terutamanya Sarawak mempertikai RUU 355 dengan nada ugutan kerana dianggap bercanggah dengan prinsip penubuhan negara Malaysia.

Persepsi masyarakat

Sementara itu, persepsi ramai umat Islam adalah bahawa RUU 355 adalah langkah pelaksanaan syariah, khususnya hudud. Bahasa kenyataan aktivis para penyokong RUU 355 mencela halangan yang mempersoal peruntukan yang dicadangkan; mengkafirkan sesama Islam bahkan secara gopoh menetapkan bukan Islam sebagai kafir harbi. Kekeliruan ini berbangkit kerana tanpa membaca RUU tersebut, masyarakat Islam menganggapnya sebagai hukum hudud yang ditetapkan dalam Al-Quran.

Maka tidak wajar ada pihak yang mempertikai hak sesiapa melahirkan pandangan mereka termasuk soal pelaksanaan syariah atau hudud atau mengumumkan RUU tersebut.

Dalam semangat yang sama adalah tidak munasabah bagi kalangan yang menganggap pandangan atau RUU tersebut sebagai hukum hudud hakikat yang tidak dapat dipertikai atau dipersoal. Malah perlu diteliti pandangan pihak yang menafsirkannya sebagai bertentangan dengan Perlembagaan Negara.

Lagipun, RUU 355 dikemukakan secara persendirian tanpa perbincangan dan muafakat dengan badan-badan Islam dan ulama lainnya tanpa maklumat kepada semua termasuk masyarakat bukan Islam.

Apa yang lebih memprihatinkan adalah justeru kenyataan pemimpin bahawa RUU 355 bukan hudud; tetapi dijaja dalam kalangan umat Islam sebagai hukum Islam – hudud yang wajib disokong.

Tindakan menjurus kepada keamanan dan keadilan

Jika difahami matlamat murni Syariah (Maqasid Syariah), setiap tindakan harus menjurus kepada keamanan dan keadilan. Ini yang ditegaskan oleh Imam al-Shatibi dalam al-Muwafaqat dengan menukil jawapan Khalifah Umar Abdul Aziz tatkala mengingatkan anaknya agar jangan gopoh dalam tuntutan menegas hukuman kerana keperluan utama ketika itu adalah untuk menjaga keamanan negara.
Nukilan lengkapnya seperti berikut:

Putera Umar Abdul Aziz, Abdul Malek menggesa ayahnya agar lebih tegas:

“Ayahanda, mengapa tidak dilaksanakan (perubahan yang lebih pantas)? Demi Allah, aku sedia seandainya kita berdua terkorban demi menegakkan kebenaran!”

Khalifah Umar menjawab:

“La taj’al ya bunayya -Jangan gopoh wahai anakku. Allah menyelar arak dua kali di dalam Al-Quran dan mengharamkannya hanya pada ketiga kalinya. Aku bimbang, seandainya aku paksakan semua kebenaran ke atas manusia (sekaligus), mereka akan menolak keseluruhannya, (dan) ini bermakna akulah akan menjadi penyebab kerosakan lebih besar.”

Sheikh Abdullah bin Bayyah, ulama terkenal semasa pernah mengungkap kebimbangan ini dengan menyatakan:

“Antara maqasid Syariah yang diabaikan oleh ramai orang, apabila tiada menjaga imej baik agama Islam.”
Muhammad Qutb dalam pengantar buku mengenai Sayyid Qutb menolak kecenderungan kalangan yang pantas menghukum. Beliau seringkali mendengar Sayyid Qutb menegaskan:

“Kita adalah da’i bukan qadi, tugas kita bukan menghukum orang…bahawa menghukum orang memerlukan pembuktian yang jelas, pasti dan tidak ada keraguan lagi dan ini adalah di luar kuasa kita, apa lagi memang kita adalah pendakwah, bukan pemerintah.”

Peringatan itu dibuat ketika muncul aliran pelampau agama di Mesir, terutama takala menghadapi regim zalim yang terus mendera pejuang Islam. Namun, bentuk penindasan yang dihadapi tidak mengizinkan tindakan atau kenyataan yang keterlaluan, menghukum atau menghina sewenang-wenangnya. Demikian rumusan Hasan Hudaiby yang mengambil alih tugas sebagai Murshidul Am Ikhwanul Muslimin dalam Du’at La Qudhah – (Pendakwah bukan Penghukum).

Al-Qaradawi mengecam golongan pelampau agama

Sheikh Yusuf al-Qaradawi mengecam golongan pelampau agama yang pantas menghukum dan mengkafirkan sesama Islam dalam bukunya mengenai golongan pelampau – muta’asibin sejak tahun 1980 lagi.

Menurutnya, Islam menolak kecurigaan tidak berasas, tuduhan melulu, keangkuhan dan mencemuh orang lain – seperti, ghuluw (sikap melampau, keterlaluan); tanattu’ (mempertikai hal titik bengik); dan sikap tashdid (keras) berdasarkan Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Waspada sikap keterlaluan dalam agama. Golongan terdahulu dari kamu musnah akibat keterlaluan tersebut.” [Riwayat Ahmad, al Nasa’i, Ibn Majah dari Sunan]

Beliau menyingkap pengalaman di Mesir tatkala muncul golongan pelampau, Jama’at al Takfir wa al Hijrah yang mengkafirkan pemerintah yang tidak melaksanakan syariah; dan Muslim yang berbuat dosa dan tidak bertaubat. Hukuman melampau yang sama dikenakan jamaah mereka kepada anggota yang meninggalkan jemaah mereka.

Pendekatan yang dianjurkan oleh Sheikh al Qaradawi adalah agar ditingkatkan usaha Islam terutama di kalangan generasi muda, lebih progresif menginginkan perubahan dan kesegaran Islam dan bukan pendekatan lemah dan malap.

Namun beliau tetap tegas mengkritik corak Islam yang dinaungi penguasa zalim, yang didukung syeikh-syeikh pedagang agama yang berfikiran jumud. Menurutnya, mereka hanya dipamer dalam upacara rasmi, bersekongkol dengan kezaliman dan tidak bersama dalam usaha menentang rasuah dan kezaliman.

Laksana keadilan dan kesaksamaan, tangkis sikap melampau

Tidak syak lagi umat Islam punyai tanggungjawab melaksanakan keadilan dan kesaksamaan serta menunjukkan contoh keperibadian, pentadbiran, dan tatakelola pemerintahan yang baik.

Kita harus memberikan kefahaman Islam yang benar, menangkis kejumudan sikap melampau dan keganasan. Ia harus tertera daripada keyakinan kita berdasarkan akidah dan syariah yang perlu ditetapkan.

Keangkuhan dan kegopohan akan mencetuskan perbalahan sengit, malah perpecahan terutama apabila kecurigaan telah disuarakan oleh penganut agama lainnya dan negeri/wilayah majoriti bukan Islam.
Seharusnya pendekatan kita perlu berhikmah dan mengelak daripada kesan negatif dan merugikan.

Perlu disingkap pengalaman negara Indonesia dengan 90 peratus penduduk Islam mengemudi permasalahan sensitif tatkala bergelut mencapai muafakat nasional memperjuangkan kemerdekaan dalam tahun 1945.

Awalnya, pada 22 Jun 1945, Presiden Sukarno, Muhammad Hatta, pemimpin Islam dan nasionalis sepakat menetapkan dalam Undang-Undang Dasar (Perlembagaan), kalimat “dengan kewajipan menjalankan syariat Islam bagi pemeluk-pemeluknya..” (dikenali sebagai Piagam Jakarta)

Namun, dalam Proklamasi kemerdekaan berikutnya pada 17 Ogos 1945, tujuh perkataan tersebut digugurkan. Wakil Presiden Muhammad Hatta menjelaskan bahawa minoriti Kristian (Katolik dan Protestan) membantah kalimat tersebut dan negara menghadapi risiko kerana wilayah majoriti Kristian enggan merdeka bersama negara Indonesia.

Maka Panitia Persiapan Kemerdekaan Indonesia berunding semula dengan ulama/wakil badan Islam di antaranya, Kiai Abdul Wahid Hashim, Teuku Muhammad Hasan, Ki Bagus Hadikusuma, Kasman Singodimedjo dan mereka bersetuju memadamkan tujuh perkataan tersebut, “supaya jangan pecah sebagai bangsa…” sambil mengingati bahawa semangat Piagam Jakarta tidak lenyap.

Teliti perkembangan mutakhir negara-negara Islam

Perkembangan mutakhir di negara-negara Islam yang mempunyai majoriti penduduk Islam seperti Tunisia (90 peratus) harus diteliti. Gerakan an-Nahdhah di bawah pimpinan ulama dan tokoh gerakan Islam terkenal, Sheikh Rachid Al-Ghannouchi, menetapkan asas keamanan, demokrasi, pertumbuhan ekonomi dan pembasmian kemiskinan, tatakelola pemerintahan yang baik, menegakkan sistem yang adil sebagai keutamaan. Pelaksanaan hudud dan pembentukan negara Islam tidak disenaraikan dalam keutamaan Parti Islam tersebut.

Pandangan tersebut selari dengan gagasan fiqh al-awlawiyyah – urutan keutamaan oleh Sheikh al-Qaradawi terutama dalam masyarakat majmuk dan pelbagai agama yang beliau ungkapkan sebagai al ta’adduniyat wa ghayr al Muslimin. Harus dipupuk terlebih dahulu kefahaman Islam mengenai toleransi, keadilan kepada semua. [Lihat Min Fiqh al Daulah fi al-Islam].

Fahaman masyarakat Islam sendiri perlu ditingkatkan bagi mengelak salah faham dan keterlanjuran. Masih ramai rakyat yang terbelenggu dengan masalah kemiskinan dan keperitan hidup sementara kadar pengangguran masih tinggi. Rasuah kian merebak seperti wabak dan tatakelola amat lemah. Masalah ini juga mendesak dan perlu ditangani bersama oleh semua rakyat, merentas kaum, negeri atau wilayah.

Pendirian KEADILAN

Walaupun KEADILAN mempunyai pendirian sendiri mengenai cara-cara memperkasakan mahkamah syariah, dan walaupun kami mempunyai beberapa kemusykilan dan keraguan berkaitan dengan RUU 355 Ahli Parlimen Marang, KEADILAN menerima dan mengiktiraf hak Ahli Parlimen tersebut untuk mengemukakan rang undang-undang ini melalui usul untuk mendapatkan kebenaran Dewan dan menyokong bahawa usul tersebut dibahas.

Dalam perbahasan atas usul tersebut kami menantikan penjelasan Ahli Parlimen Marang dan lebih utama lagi pendirian dan jaminan Perdana Menteri bahawa hak-hak di bawah Perlembagaan akan dilindungi, sebelum kami memutuskan pendirian seterusnya.

Kami juga ingin menyatakan kemusykilan mengapa RUU 355 ini sengaja dibiarkan berlarutan, terapung di Parlimen tanpa sebarang usaha memberikan penjelasan atau menganjurkan perbincangan dengan wakil parti politik dan masyarakat. Kami tetap memilih jalan muafakat untuk memartabatkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan menjamin kebebasan beragama bagi bukan Islam.

KEADILAN melihat terdapat di dalam usul ini beberapa perkara yang membimbangkan terutamanya kesamaran skop hukuman. Oleh kerana RUU 355 ini melibatkan undang-undang berkaitan kesalahan jenayah berhubung dengan melanggar lunas-lunas Islam, maka skop hukuman yang dicadangkan bagi undang-undang ini perlu cukup jelas. Apa-apa pindaan undang-undang yang memberi kuasa untuk menghukum wajib terang dalam maksudnya. Apa-apa perubahan juga perlu jelas supaya undang-undang baru ini adalah selaras dengan apa yang difahamkan sebagai lunas-lunas Islam sendiri. Perbincangan perlu juga atas aspek sama ada pindaan ini adalah dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Pendirian KEADILAN untuk RUU 355 dibahaskan adalah bersyarat bahawa mana-mana pindaan undang-undang sedia ada mesti mematuhi dan memenuhi prinsip-prinsip murni keadilan dan kesaksamaan dalam Islam serta tidak bercanggah dengan teks dan semangat Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia.

* Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden KEADILAN

Tiada ulasan: