HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Oktober 2016

Bajet Selangor hanya 'wayang kulit'- ADUN BN

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor menyifatkan pembentangan Bajet 2017 oleh Menteri Besarnya Datuk Seri Azmin Ali hanyalah 'wayang kulit' politik dan tidak mencerminkan situasi sebenar negeri berkenaan.
 
Menurut ADUN Semenyih Datuk Johan Aziz, bajet kali ini hanya nampak gah di atas kertas namun hakikatnya tidak langsung memberikan apa-apa kebaikan kepada rakyat.
  
"Nampak cantik di atas kertas. Kita hendak tengok hasilnya. Saya bagi contoh ADUN Sekinchan menegur pentadbiran Dewan Negeri bahawa pelaksanaan bantuan untuk perkahwinan di negeri Selangor, sudah dihantar borang sampai pemohon itu mengandung pun masih tidak dapat duit berkenaan. 
 
"Saya nampak Bajet ini bajet wayang kulit sahaja. Tunjuk defisit lepas itu jadi bajet seimbang. Ini semua wayang kulit sahaja," katanya di lobi DUN hari ini.
 
Malah menurut Penyelaras ADUN BN Selangor Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan, bajet kali ini disifatkan sebagai retorik politik Azmin dalam menarik minat rakyat Selangor terhadap kepimpinan beliau.
 
Ujarnya, pembentangan bajet tersebut hanya mengulangi apa yang dilakukan pada bajet terdahulu dan telahpun dilakukan oleh Kerajaan Pusat sebelum ini.
 
"Tidak ada benda baru yang saya lihat yang dapat diutarakan untuk menangani isu rumah-rumah pangsa selain daripada meniru apa yang kerajaan Pusat buat. Begitu juga dengan isu air. 
 
"Tahun lepas Azmin cerita pasal RM700 juta untuk buat loji air baru, masalah dia sama. Tahun ini cakap lagi perkara sama. Jadi bila habis bercakap pasal isu ini?" soal ADUN Batang Kali itu.
 
Ujarnya pentadbiran Azmin banyak mempermainkan rakyat dengan menabur janji untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi rakyat namun hakikatnya kerajaan negeri gagal menyelesaikan masalah tertentu antaranya isu air, perumahan dan kos sara hidup rakyat Selangor.
 
Bajet bagi tahun 2017 di Selangor dijangka berdepan defisit sebanyak RM900 juta, dimana jumlah tertinggi dalam tempoh sembilan tahun sejak PKR mengambil alih pada tahun 2008.
 
Menurut Azmin, peningkatan defisit itu berpunca daripada peningkatan substantif dalam perbelanjaan pembangunan untuk memenuhi keperluan pembangunan mampan yang berkualiti untuk rakyat.
 
 

Tiada ulasan: