HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Oktober 2016

Annuar kata Husni tanya Husni sendiri jawab

MALAYSIAKINI


Kerajaan tidak perlu memberikan perhatian kepada senarai panjang soalan Anggota Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berhubung dengan 1MDB di Dewan Rakyat kelmarin.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata ia kerana sebahagian daripada persoalan yang dibangkitkan Ahmad Husni telah pun dijawabnya sendiri ketika menjadi Menteri Kewangan Kedua.

Kata Annuar, antara kenyataan Ahmad Husni pada masa itu adalah "1MDB ditubuhkan dengan matlamat jelas iaitu melabur dan membangun projek dalam bentuk jangka panjang yang mempunyai kepentingan strategik kepada ekonomi dengan sasaran kewangan dan kejayaan pada masa depan".

Kata Annuar jawapan Ahmad Husni itu dibuat pada 20 Februari 2015.

Justeru kata Annuar tiada fakta baru yang dikemukakan Ahmad Husni dalam ucapan perbahasannya mengenai belanjawan di Dewan Rakyat kelmarin.

"Malah persoalan lain yang beliau lontarkan adalah bersifat kebimbangannya atas andaian pihak-pihak tertentu dan beliau ingin tahu apakah yang akan diambil oleh kerajaan sekiranya ia menjadi kenyataan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Husni dilantik menjadi Menteri Kewangan Kedua pada April 2009, beberapa bulan sebelum perjanjian utama pertama 1MDB dengan syarikat PetroSaudi International yang tidak kekal lama.
Ahmad Husni meletak jawatan dari kabinet dan melepaskan semua jawatan dalam Umno pada Jun 2016.
Niat kena betul


Beliau bagaimanapun kekal sebagai ahli Umno dan kini berkhidmat sebagai ahli parlimen Tambun bagi penggal kelima.

Semasa perbahasan ucapan Bajet 2017 semalam, Ahmad Husni meminta kerajaan menyatakan sebab 1MDB ditubuhkan dan jika ada sebarang tindakan diambil terhadap pengurusan agensi itu kerana menyalurkan dana syarikat ke "tempat yang salah".

Beliau juga menyoal mengapa kerajaan hanya akan dibayar pada tahun 2020 bagi penjualan 60 peratus kepentingan dalam projek Bandar Malaysia kepada sebuah syarikat Cina.

Ahmad Husni turut membangkitkan sama ada imej Malaysia terjejas sekiranya 1MDB tewas dalam kes timbang tara berhubung tindakan International Petroleum Investment Co milik Abu Dhabi yang menuntut lebih daripada AS$6.5 bilion daripada 1MDB di London.

Menurut Annuar beliau menghormati peranan dan tugas seorang anggota parlimen, selagi ia dilaksanakan dengan niat dan di tempat yang betul.

Katanya beliau juga yakin kerajaan tidak mempunyai sebarang masalah untuk memberi penjelasan kepada soalan yang dibangkitkan bekas bendahari Umno itu.

"Kita harus ambil daripada sudut positif setiap perkara yang diutarakan. Isu 1MDB sememangnya sentiasa diberi perhatian serius oleh kerajaan dan pelbagai langkah memperbaiki segala kelemahan sedang giat dilakukan oleh pelbagai pihak yang berwajib," tambah Annuar.

Tiada ulasan: