HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Oktober 2016

Projek kecil rakyat akan disiapkan cepat - Ismail Sabri

MALAYSIA GAZETTE
 



Bajet 2017 akan memberi faedah amat besar kepada penduduk luar bandar yang merangkumi semua faktor termasuk infrastruktur, ekonomi, pendidikan dan perumahan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bajet berjumlah RM9 bilion itu merupakan hadiah bermakna kerana ia bajet berkaitan rakyat dan seiring dengan transformasi luar bandar iaitu Membandarkan Luar Bandar.

" Budget 2017 menunjukkan kerajaan memberikan perhatian yangg istimewa kepada masyarakat luar bandar dan menunjukkan kerajaan yang prihatin dan benar-benar mendengar denyut nadi rakyat luar bandar.
“Ini akan menjadikan luar bandar lebih kondusif dengan pelbagai aksesibiliti dan kemudahan seperti infrastruktur, pembangunan modal insan dan aktiviti ekonomi.

“Bajet 2017 kepada kementerian juga akan dapat terus menaja pendapatan yang lebih untuk menangani kos sara hidup seperti program Mobilepreneur, aktiviti ekonomi tambahan, keusahawanan dan mencipta peluang pekerjaan di luar negara.

“Bajet ini juga akan menggalakkan generasi muda untuk kekal tinggal di luar bandar dan membina masa depan di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas Bajet 2017 kementeriannya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata antara intipati penting Bajet 2017 yang menggembirakan adalah insentif kepada pekebun kecil dan penoreh getah buat pertama kali.

Beliau berkata golongan itu akan mendapat Bantuan Musim Tengkujuh sebanyak RM200 sebulan selama tiga bulan bermula bulan November hingga Januari.

“Pada masa sama, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Felcra Berhad akan membina Rumah Generasi ke-2 dengan peruntukan masing-masing sebanyak RM100 juta.
“Saya akan mengumumkan harga rumah tersebut pada minggu depan,” katanya.

Selain itu jelas Ismail Sabri, jalan kampung dan jambatan telah diperuntukan sebanyak RM1.2 bilion dalam usaha menghubungan laluan antara kampung ke kampung.

Pada masa sama, katanya bekalan elektrik luar bandar untuk 10,000 rumah diperuntukan RM462 juta selain pemasangan lampu jalan kampung sebanyak 100,000 unit LJK melibatkan lampu neon dan 3,000 unit lampu LED dengan peruntukan RM100 juta.

“Bajet 2017 boleh disifatkan sebagai bajet pembangunan dan kita akan mengurangkan bajet mengurus bagi memberi tumpuan kepada projek pengukuhan rakyat di mana projek-projek kecil untuk rakyat luar bandar dapat disiapkan dengan cepat,” katanya. -- MalaysiaGazette


Tiada ulasan: