HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Oktober 2016

Persatuan pengguna gesa kerajaan kawal jualan minyak masak 1kg

DETIK DAILY





PETALING JAYA: Persatuan pengguna menggesa kerajaan merangka satu sistem bagi menghalang penyalahgunaan subsidi minyak masak untuk golongan miskin.Mereka bimbang individu tidak bertanggungjawab akan mencari jalan mengaut keuntungan dengan mengeksploitasi subsidi minyak masak 1kg dalam peket plastik.


Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris berkata, kerajaan perlu mengehadkan jumlah peket minyak masak yang boleh dibeli pengguna atau ada orang yang akan membeli lebih daripada keperluan mereka dan menggunakannya untuk tujuan komersial.

“Restoran dan keluarga kaya akan membelinya.

“Jika subsidi itu disalahgunakan, maka tiada guna menjual minyak masak pada harga subsidi,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, CAP sudah lama mencadangkan kerajaan memberi kad catuan kepada golongan miskin.

“Dengan itu, mereka boleh membeli barang-barang bersubsidi.”

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan berkata, individu tidak bertanggungjawab akan “menyapu pek 1kg daripada rak”.

“Subsidi perlu disasarkan. Kerajaan perlu mencari jalan untuk memastikan hanya orang miskin boleh membeli minyak bersubsidi.

“Kenapa memberi orang peluang menyalahgunakan sistem? Jika itu berlaku, ia adalah akibat kegagalan mengawal keadaan.”

Katanya, satu mekanisme pencegahan penyalahgunaan sepatutnya dilaksanakan beberapa bulan sebelum kerajaan mengumumkan pemansuhan subsidi minyak masak untuk kategori lain, kecuali peket plastik 1kg.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengumumkan subsidi minyak masak hanya dikekalkan untuk peket plastik 1kg pada harga RM2.50.

Ini bermakna, subsidi untuk minyak masak kategori lain, termasuk minyak masak peket plastik 5kg akan dihapuskan dan harga akan mengikut apungan pasaran mulai 1 November ini.

Tiada ulasan: