shahbudindotcom
Petang
ini bekas Menteri Kewangan Kedua, Husni Hanadzlah diarahkan ke Bukit
Aman untuk disiasat berhubung ucapan perbahasannya di Parlimen yang
didakwa melanggar sumpah rahsia ketika menjadi anggota kabinet dahulu.
Selepas
beliau, sudah tentu giliran Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal pula
diambil keterangan atas kesalahan yang sama. Ketiga-tiga mereka akan
disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi atau OSA kerana mendedahkan
perkara-perkara berkaitan 1MDB yang didakwa pernah dibincangkan dalam
mesyuarat kabinet.
Muhyiddin
dan Shafie, sebelumnya turut dipecat daripada kabinet dan UMNO kerana
lantang mengkritik dan mempertikaikan perjalanan serta hutang syarikat
pelaburan kerajaan yang ditubuhkan oleh Najib Razak itu.
Khairuddin
Abu Hassan dan Matthias Chang pula dipenjarakan dibawah Sosma selepas
membuat laporan ke beberapa negara, juga mengenai 1MDB setelah
laporan-laporan yang mereka buat di negara sendiri tidak menghasilkan
apa-apa tindakan.
Sebelum
itu, beberapa perkara turut berlaku seperti pemecatan Gani Patail
sebagai Peguam Negara, pertukaran dan kacau-ganggu terhadap
pegawai-pegawai SPRM dan Bank Negara serta beberapa insiden lain yang
tidak pernah berlaku sebelum ini.
Semuanya hanya kerana 1MDB dan mahu menyucikan syarikat pelaburan tersebut.
Dilihat
daripada apa yang berlaku kepada tiga bekas menteri yang disiasat di
bawah OSA, tidak dinafikan bahawa 1MDB akan terus merupakan sebuah
"entiti yang hebat dan tidak boleh ditegur".
Sesiapa
saja yang menegur dan mengkritiknya, bersedialah menghadapi bahayanya,
manakala yang sanggup mempertahan dan membelanya, melimpahlah pula
ganjaran dan anugerah yang akan diterima.
1MDB
bukan saja terlihat tidak lut daripada segala undang-undang yang ada,
malah ia lebih kebal berbanding imuniti Ahli-Ahli Parlimen ketika
berucap di Dewan Rakyat.
Sebelum
ini, kita biasa mendengar apabila Ahli Parlimen menyentuh sesuatu yang
sensitif ketika berucap di Parlimen, mereka selalunya akan dicabar
supaya mengulanginya di luar Dewan Rakyat agar tindakan undang-undang
dapat diambil.
Tetapi
kali ini, tanpa sesiapa mencabar ketiga-tiga bekas menteri itu
mengulanginya di luar Parlimen, sebaliknya hanya berdasarkan apa yang
dibangkitkan oleh Speaker Dewan Rakyat dan kemudian disusuli dengan
laporan polis oleh dua NGO pendedak, mereka terus disiasat dan diambil
keterangan.
Ia secara langsung dan tidak langsung menunjukkan 1MDB lebih gagah dan perkasa berbanding imuniti Ahli-Ahli Parlimen.
Dalam
hal ini, seorang peguam berpengalaman dan bekas menteri, Zaid Ibrahim
menyatakan, menyentuh sesuatu perkara secara umum tidaklah boleh
ditafsirkan sebagai mendedahkan rahsia kerajaan atau melanggar sumpah
kerahsiaan, kecuali mendedahkan butiran minit mesyuarat kabinet secara
khusus.
Jika
diteliti ucapan perbahasan Muhyiddin, Shafie mahupun Husni, di mana
dalam ucapan mereka terdapat hal-hal berkaitan minit mesyuarat kabinet
yang didedahkan?
Jika
seseorang bekas menteri yang bercakap secara umum mahu ditafsirkan
sebagai melanggar sumpah rahsia, di zaman Tun Mahathir Mohamad menjadi
Perdana Menteri iaitu selepas pemilihan 1987 di mana ramai antaranya
memilih untuk berbalah dan menyerangnya, termasuk menyentuh berkaitan
berbagai syarikat kerajaan, mereka ketika itu tentunya lebih dianggap
melanggar sumpah kerahsiaan.
Namun, pernah kita mendengar sesuatu tindakan diambil oleh Tun Mahathir kepada bekas-bekas menteri yang menentangnya?
Di
sebalik ramai yang telah dan sedang diambil tindakan kerana menyentuh
perkara berkaitan 1MDB, Jho Low yang sekarang entah di dunia mana sedang
berhiburnya, tetap merupakan orang yang paling bertuah sekali di era
Najib ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan