HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Oktober 2016

Tuduh Selangor manipulasi harga rumah: Noh Omar tidak perlu cari 'kambing hitam'

DALIA ISMAIL
 
 
Datuk Ir Iskandar Abdul Samad Datuk Ir Iskandar Abdul Samad
Dakwaan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar bahawa polisi Kerajaan Negeri Selangor yang menyebabkan kenaikan harga rumah  di negeri itu adalah tidak masuk akal.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar Selangor Datuk Ir Iskandar Abdul Samad berkata, jika dibandingkan dengan harga rumah di Kuala Lumpur dan Johor  juga tinggi.

Oleh itu untuk menyalahkan Kerajaan Negeri Selangor di atas kenaikan harga rumah di Malaysia adalah seperti untuk melarikan diri dari tanggungjawab.

"Kerajaan Persekutuan tidak perlulah mencari kambing hitam (scapegoat) setelah gagal menstabilkan harga rumah.

"Pada hakikatnya rakyat Selangor berpeluang membeli rumah mampu milik atau Rumah Selangorku di antara RM42,000 ribu hingga RM250,000.

"Harga maksima Rumah Selangorku, RM250,000, adalah lebih rendah dari harga maksima yang dibenarkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk rumah mampu milik iaitu RM300,000," ujarnya dipetik dalam status facebooknya petang ini.

Tan Sri Noh OmarTan Sri Noh OmarBeliau dipercayai mengulas kenyataan  Noh yang dipetik berkata, Kerajaan Negeri Selangor memanipulasi harga rumah di negeri itu melalui harga tanah, premium, dan caj pembangunan yang tinggi antara punca harga rumah di negeri ini tinggi.

“Ada kerajaan negeri seperti Selangor menentukan harga premium mahal. Kemudian lagi satu caj pembangunan pun dikenakan juga, di Selangor sampai 19%. Jadi bila caj itu dikenakan kepada pemaju tentu akan dikenakan kenaikan harga rumah kepada pembeli,” kata Noh  yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang ketika sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Iskandar yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor, berkata, maklum balas yang diterima menunjukkan pemaju perumahan mula memberi tumpuan kepada pembinaan Rumah Selangorku apabila permintaan untuk membeli jenis rumah tersebut terus meningkat.

"Lebih 70,000 orang telah mendaftar untuk membeli Rumah Selangorku.

"Terdapat pemaju yang tidak wajib membina Rumah Selangorku tetapi telah juga memohon untuk membinanya memandangkan insentif yang diberikan oleh kerajaan negeri.

"Di antaranya adalah peningkatan jumlah unit kediaman yang boleh dibina bagi setiap ekar.

"Setakat ini permohonan dari pemaju swasta untuk membina lebih kurang 22,000 unit Rumah Selangorku telah diluluskan," ujarnya.

Ternyata kerajaan negeri ujarnya telah berjaya mengawal harga rumah mampu milik.

Malah dakwanya Noh baru sahaja mengumumkan Majlis Profesor Negara (MPN) akan ditugaskan untuk mengkaji kemungkinan kerajaan Persekutuan mengawal harga rumah mampu milik.

"Ini bermakna kerajaan negeri mendahului kerajaan Persekutuan.

"Sebarang dakwaan bahawa program-program kerajaan Persekutuan seperti MyHome dan MyDeposit dapat menurunkan harga rumah belum dapat dibuktikan kerana harga rumah masih pada tahap yang sama selepas pelaksanaan program-program itu.

"Adalah lebih baik jika kerajaan Persekutuan mengecualikan pemaju-pemaju perumahan dari membayar GST.

"Pemaju-pemaju tidak boleh mengenakan GST ke atas pembeli-pembeli rumah tetapi pemaju membayar GST untuk pelbagai perkara untuk menyiapkan projek mereka.

"Maka sudah tentu pemaju akan menaikkan harga jualan untuk menanggung GST yang telah dibayar," ujarnya.

Tiada ulasan: