HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Oktober 2016

Masih ada yang melacur di Kota Bharu, kata ADUN PKR

MALAYSIAKINI

Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan hari ini 'panas' apabila seorang anggotanya mendakwa aktiviti pelacuran masih berlaku di bandar ini walaupun setelah lebih 20 tahun PAS memerintah Kelantan
dengan dasar 'Membangun Bersama Islam'.

Mohd Roslan Puteh (PKR-Guchil) mendakwa aktiviti itu masih berlaku di Jalan Hamzah di sini selepas beliau ditawarkan khidmat seks apabila kenderaan yang dinaikinya didekati sekumpulan wanita.

Beliau berkata wanita berkenaan, yang menaiki sebuah kereta, berbuat demikian sejurus beliau membayar bil telefon bimbitnya menggunakan mesin layan diri pada 12.45 tengah malam tadi.

"Masih ada wanita tawar perkhidmatan tak sepatutnya walaupun dah lebih 20 tahun (PAS memerintah Kelantan). Ada empat wanita (yang tawar khidmat seks).

"Saya terserempak (dengan mereka) selepas bayar bil telefon," katanya ketika sesi perbahasan Bajet 2017 Kelantan pada persidangan dewan itu di Kompleks Kota Darul Naim, hari ini.

Bagaimanapun, Hassan Mohamood (PAS-Tawang) bangun mencelah perbahasan itu dengan mengatakan dakwaan dikemukakan Mohd Roslan tidak mempunyai bukti kukuh dan mencurigakan.

Beliau berkata sudah tidak ada lagi sarang pelacuran di negeri ini selepas ia dibanteras agensi berkaitan.

Namun, Mohd Roslan tetap mempertahankan dakwaannya itu dengan berkata perkara itu sangat mencurigakan kerana seorang wanita selalunya berada di rumah dan tidak berpeleseran lebih daripada 12 tengah malam.

"Mereka (wanita) sepatutnya berada di rumah tapi kalau berpeleseran di bawah pokok di satu kawasan yang sejak 40 tahun dahulu (terkenal dengan aktiviti pelacuran), sebagai umat Islam bagi saya keadaan itu mencurigakan.

"Saya boleh jadi pemandu kepada Exco berkaitan untuk tinjau tempat tersebut," katanya.- Bernama

Tiada ulasan: