HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Oktober 2016

'Kenapa usik Rosmah, pemerhati yang tak berbahas di parlimen?'

MALAYSIAKINI


Pembantu Rosmah Mansor menyelar sikap pembangkang yang lebih gemar “mengusik” isteri perdana menteri, berbanding memberi tumpuan terhadap perbahasan parlimen.

Rizal Mansor berkata, Rosmah bukan anggota parlimen dan beliau hanya hadir dalam sidang Dewan Rakyat sebelum ini sebagai pemerhati.

“Apa faedah yang boleh diperoleh oleh ahli parlimen pembangkang dengan mengusik Datin Sri Rosmah?

“Mereka sepatutnya menumpukan kepada pembentangan bajet di dalam dewan yang kemudiannya akan dibahas,” katanya.

Wakil rakyat Tanjong Ng Wei Aik sebelum ini mendakwa Rosmah mengaku sebagai isteri Malaysian Official 1 (MO1).

Menulis di Facebook Jumaat lalu, anggota parlimen DAP itu mendakwa beliau bertanya “siapa isteri M01” ketika melalui Rosmah.

Beliau kemudian mendakwa Rosmah menjawab: “Ya, saya. Kamu ingat saya takut dengan kamu.”

Ketika dihubungi, Ng mendakwa perbualan itu berlaku di Dewan Rakyat, ketika pembangkang keluar dewan Jumaat lalu.

Rosmah duduk di kerusi pemerhati di belakang anggota parlimen pembangkang di parlimen ketika suaminya, yang juga perdana menteri, membentangkan belanjawan.

Pembangkang keluar dewan selepas mengangkat plakad “Siapa M01”.

Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS), M01 menerima AS$731 wang yang didakwa dicuri daripada syarikat pelaburan negara 1MDB.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan sebelum ini berkata M01 merujuk kepada perdana menteri tetapi menegaskan beliau bukan sebahagian daripada siasatan DOJ.

Sementara itu, seorang lagi anggota parlimen DAP Kasthuri Patto juga mendakwa beliau juga ada bercakap dengan Rosmah.

Anggota parlimen Batu Kawan itu berkata ketika wakil rakyat keluar dewan, isteri perdana menteri itu secara “menyindir” berkata: “Terima kasih kerana hadir.”

Kasthuri kemudian berkata beliau memberitahu Rosmah, pemerhati tidak dibenarkan bercakap kecuali dibenarkan oleh speaker.

“Jadi saya bersemuka dengan dia dan berita dia dalam Dewan, dia patut belajar peraturan (dewan), dan dia terkejut,” katanya kepada Malaysiakini.

Dalam kenyataan hari ini, Rizal berkata Bajet 2017 dibentang untuk melaksanakan tanggungjawab kerajaan bagi memenuhi keperluan rakyat dan negara.

Katanya lagi, ia bukan untuk memenuhi kehendak pembangkang ataupun ruang untuk mereka membuat gimik politik dengan keluar dewan.

Pembangkang keluar dewan ketika Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak membentangkan bajet Jumaat lalu.

Rizal juga mengambil kesempatan menghentam anggota parlimen DAP Tony Pua berkaitan penjawat awam.

Tiada ulasan: