Shakira Buang
Meskipun PAS memutuskan untuk tidak menyertai himpunan BERSIH pada 19
November depan, namun kepimpinan parti Islam itu tetap mendoakan
kejayaan perhimpunan itu.
Ketua Pemudanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata walaupun
PAS tidak bersama, ia tidak beerti apa yang diusahakan Maria Chin selaku
pengerusi himpunan itu salah.
"Saya doakan BERSIH5 berjaya diadakan dengan jayanya dan tanpa ada sebarang (perkara) yang tidak diingini.
"Kebebasan bersuara adalah hak setiap rakyat Malaysia. Walaupun PAS tidak bersama ia tidak beerti mereka salah," kata Nik Abduh.
Sebelum ini, BERSIH menolak dakwaan bahawa tanpa sokongan PAS
perhimpunan mereka untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil tidak
akan mendapat sambutan.
Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan pada 21 Oktober lalu berkata PAS tidak akan menyertai BERSIH5 kerana menganggap ia terpesong daripada tujuan asal.
Dihubungi Malaysiakini hari ini, Nik Abduh yang juga anggota parlimen Pasir Mas berkata PAS ada pendekatan tersendiri dalam perjuangannya.
"PAS dengan pendekatannya sendiri yang insya-Allah lebih difahami dan disokong oleh rakyat. Insya-Allah," kata Nik Abduh.
Iskandar: Kita ada tugas masing-masing
Manakala, Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Samad senada dengan Nik
Abduh dan menegaskan kedua-dua mereka mempunyai tugas masing-masing
untuk membawa perubahan.
"Kita tumpu kepada tugas masing-masing untuk membawa perubahan.
"PAS jalankan tugas mereka dan bersih jalankan tugas mereka. Kita ada cara masing-masing.
"Saya ucapkan selamat berjaya kepada BERSIH," kata Iskandar.
Maria semalam mengumumkan pusat perhimpunan BERSIH 5 akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, seperti tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan