HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Oktober 2016

Penganjur Bersih sengaja tak ikut peraturan untuk tarik perhatian dunia, kata Khalid

ANTARAPOS.COM


Post Pic


MELAKA: Penganjur perhimpunan Bersih 5.0 sengaja tidak mahu mengikut peraturan seperti terkandung dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012) kerana mahu menarik perhatian dunia, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata, menerusi cara itu penganjur tersebut mahu menunjukkan kepada masyarakat dunia bahawa kononnya anggota penguatkuasa di negara ini menyekat kebebasan rakyatnya untuk bersuara dan berhimpun.

"Nasihat saya patuhilah peraturan seperti terkandung dalam APA 2012, kenapa lah susah sangat (patuhi peraturan). Mereka (penganjur) ini suka kalau nanti kita guna FRU (Federal Reserve Unit) bawa water cannon (penyembur air), mereka suka la macam tu.

"Negara kita ini ada undang-undang bukannya negara 'cowboy'...kalau dia (penganjur) masih lagi kekal dengan keputusan melanggar undang-undang maka bersedialah dengan tindakan undang-undang," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Sambutan Hari Inovasi Polis Diraja Malaysia 2016 yang turut dihadiri Ketua Polis Melaka Datuk Ramli Din dengan kerjasama daripada pelbagai agensi antaranya Kerajaan Negeri Melaka, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Sambutan itu diadakan setiap tahun sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada pegawai kanan, pegawai rendah dan pegawai awam yang telah berjaya menterjemahkan idea dan kreativiti dalam menghasilkan inovasi yang dapat memberi impak besar kepada perkembangan dan kemajuan organisasi itu.

Khalid berkata, penganjur disarankan agar mengikut saluran yang betul sebelum mengadakan sebarang perhimpunan termasuk membuat permohonan dan mendapatkan kebenaran bagi lokasi yang dipilih mereka.

"Peruntukan undang-undang memerlukan notis dikemukakan 10 hari sebelum perhimpunan dibuat seterusnya dapatkanlah kebenaran tuan punya tempat, kalau tak bagi banyak lagi tempat lain boleh dibuat selain Kuala Lumpur. Jadi patuhilah peraturan, apa yang payah sangat?," katanya.


Tiada ulasan: