Oleh Manzaidi Mohd Amin
Ketua
Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar diminta bertegas dengan
kumpulan Bersih 5, terutama yang melakukan provokasi ‘pengebumian’
terhadap isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin berkata,
perbuatan Bersih 5 semakin biadab dan teramat melampau apabila
melibatkan Rosmah dalam kempen himpunan haram mereka pada November ini.
Katanya, sampai sekarang polis tidak memanggil Pengerusi Bersih 5, Maria Chin Abdullah berikutan kejadian itu.
Minggu lalu, viral gambar Rosmah yang dikatakan disunting pihak
tertentu seolah peserta demonstrasi Bersih membuat upacara pengebumian
ke atas isteri Perdana Menteri itu sehingga menimbulkan kemarahan orang
ramai.
Menurut Bung, peserta demonstrasi Bersih akan hilang arah apabila
mereka berarak beramai-ramai di jalan raya dan ada antaranya sanggup
melakukan perbuatan biadab.
"Masa berarak mereka hilang arah.. mereka sapu gambar isteri
Perdana Menteri dengan penyapu dan lakukan seperti dalam upacara
pengebumian. Ini perbuatan yang sungguh biadab.
"Apa dosa Rosmah? Dia merampas harta awamkah? Dia mengacau rumah
tangan orangkah? Saya minta Maria Chin bertanggungjawab dalam perkara
ini dan kepada pihak berkuasa, ambil tindakan ke atas Pengerusi Bersih
ini," katanya di Parlimen hari ini.
Bung berkata, Ketua Polis Negara harus melihat semula rakaman video
berkenaan dari awal sampai akhir dan mengambil tindakan pada
laporan-laporan polis yang dibuat.
Menjawab pertanyaan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) setuju atau
tidak Ketua Baju Merah, Datuk Jamal Md. Yunus juga perlu diambil
tindakan, Bung dengan tegas berkata, tidak kira siapa sahaja jika
melanggar undang-undang perlu diambil tindakan.
"Mana-mana kumpulan, sama ada merah ke, hijau ke, biru ke atau
hijau ke, kalau langgar undang-undang, tangkap dia," katanya. -
MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan