Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Sikap beberapa bekas menteri yang mendedahkan rahsia
kerajaan dan mempersoalkan sesuatu keputusan berkaitan kerajaan ketika
sudah tidak bergelar anggota kabinet memberi gambaran mereka bukan
pemimpin yang mempunyai integriti.
Seorang penganalisis politik, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, sikap
pemimpin seperti ini boleh diinterpretasikan sebagai berpura-pura demi
agenda peribadi masing-masing.
"Adakah selama ini mereka berpura-pura? Dulu membuat keputusan bersama
yang lain (kerajaan), tapi bila dah keluar daripada kerajaan, ia
(keputusan) seperti satu kesalahan pula. Bagi saya mereka tak ikhlas.
"Adakah sekarang ini mereka lebih benar daripada dahulu? Atau mereka
ada agenda tertentu untuk kepentingan mereka bagi mempengaruhi rakyat
dengan cerita-cerita di bawah OSA. Jadi, integriti mereka yang kita
persoalkan sekarang," katanya kepada Antarapos.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan bekas anggota
Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk
Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang mempersoal beberapa keputusan kerajaan
terutama mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) ketika membahaskan
Rang Undang-Undang Perbekalan 2017.
Dalam pada itu, Ramlah turut menyokong Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan
Sri Pandikar Amin Mulia yang menyatakan ketiga-tiga pemimpin itu mungkin
menghadapi tindakan perundangan di atas perbuatan berkenaan.
Tambah Ramlah, adalah sesuatu yang tidak wajar untuk seseorang pemimpin
mengingkari sumpah yang telah diikrarkan untuk tidak menzahirkan kepada
umum berkenaan maklumat ketika menjawat jawatan dalam Kabinet.
"Kalau dulu mereka mengatakan (kerajaan) betul dan sekarang salah,
kalau mereka bekerjasama dengan anda, mereka akan kata anda betul, tapi
bila keluar kerjasama, mereka boleh katakan anda salah.
"Selama mana rakyat mahu ditipu dengan permainan ini? Kita hendakkan
orang yang ada integriti, yang ikhlas berjuang. Tapi nampak sangat
mereka berjuang untuk kepentingan mereka sendiri," demikian kata
Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia, Universiti Malaysia
Perlis (UniMAP) itu lagi.
Muhyiddin digugurkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam
rombakan Kabinet pada Julai tahun lalu. Shafie turut menerima nasib yang
sama apabila digugurkan jawatan sebagai Menteri Luar Bandar dan
Wilayah.
Husni pula meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan Kedua dan semua jawatan dalam kerajaan dan Umno pada Jun lalu.
Muhyiddin dan Shafie kini mengepalai parti masing-masing selepas tidak
lagi bersama Umno. Muhyiddin menerajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(PPBM) manakala Shafie menerajui Parti Warisan Sabah. Husni bagaimanapun
masih kekal sebagai ahli Umno.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan