HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Oktober 2016

Exco: Isu politik, sekat proses kelulusan tanah

OLEH ERMIZI MUHAMAD


ean-5a


HULU SELANGOR : Proses kelulusan tanah penduduk kampung baru yang tergendala di seluruh negeri didakwa berpunca daripada amalan politik pihak tidak bertangunggjawab.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram, dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata, amalan sedemikian wujud sebelum pentadbiran Pakatan memegang tampuk pemerintahan negeri.

“Kita mengambil maklum, isu ini sudah terlalu lama apatah lagi penduduk sudah menetap di perkampungan ini sejak kampung baru mula ditubuhkan lagi.

“Namun, kerana isu politik yang wujud sebelum 2008, termasuklah isu kampung tradisi, perkara ini menjadi senjata politik pihak tertentu.

“Tetapi atas komitmen peduli rakyat, Kerajaan Negeri menukar dasar terdahulu dan membentuk sebuah pentadbiran adil demi memastikan semua kampung terlibat dapat proses kelulusan itu,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Notis 5A, kepada 25 orang penduduk Kampung Baru Chuang, Rasa di sini pagi ini.

Dalam perkembangan itu, Kerajaan Negeri sebelum ini komited memastikan isu pembangunan dan penempatan penduduk diselesaikan selepas pertikaian mengenainya gagal dibuat sebelum 2008 lagi.

Kini, isu pemilikan tanah giat diluluskan di peringkat Pejabat Daerah dan Tanah melibatkan seluruh daerah di Selangor selepas pentadbiran Pakatan mentadbir Selangor.

Proses tersebut dilakukan secara berperingkat dan terdapat beberapa kawasan telah diselesaikan antaranya membabitkan sebahagian kawasan di Batu Arang, Kundang dan Sungai Serai.

Menyambut baik perkara tersebut, penerima notis 5A, Lee Chee Wai, 70 inisiatif diwujudkan ini membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri membantu rakyat selepas menunggu hampir 40 tahun bagi mendapat milikan tanah sepenuhnya.

“Saya tinggal di kampung ini sejak 40 tahun dan akhirnya penantian kami berakhir apabila permohonan kami akhirnya diluluskan di bawah pentadbiran kerajaan sekarang,” katanya.

Bagi Liew Ah Hoy, 67 pemberian notis 5A berkenaan membantu golongan kurang berkemampuan memiliki tanah sendiri.

“Permohonan telah dibuat sebelum 2008 lagi ketika generasi pertama masih ada di kampung ini. Tetapi kami bernasib baik apabila kerajaan (Kerajaan Negeri) sekarang ini lebih prihatin dan beri kelulusan kepada kami,” katanya. -nR

Tiada ulasan: