HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Oktober 2016

Naik kadar BR1M: Bajet anak orang kaya, kata PPIM


 
Oleh Dahlia Ismail


Kenaikan kadar Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dalam Bajet 2017 kepada 7juta penerima dilihat tidak praktikal dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu, kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nazim Johan.

Beliau membayangkan pemberian BRIM itu sebagai 'bajet anak orang kaya' kerana ia tidak akan memberikan impak positif kepada penerimanya.

"Hari ini kerajaan kurang duit jadi tidak praktikal masih meneruskan BRIM.

"Sedangkan kita lihat hasilnya tidak membantu kesejahteraan rakyat dari jangka panjang.

"Ini bajet anak orang kaya, kita memberi tetapi kita tidak lihat hasilnya kepada penerima dan negara...kita bagi lagi tahun depan," ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Pemberian berterusan BR1M itu memberi manfaatkan kepada 7 juta penerima dengan peruntukan RM6.8bilonpada pada 2017.

Berbanding pada 2016 sejumlah 4.7 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang dengan memperuntukkan RM5.9 bilion pada 2016.

Justeru katanya sudah tiba masanya jika kerajaan amat `bermurah hati' untuk merasai denyut nadi rakyat, kerajaan seharusnya meletakkan syarat kepada penerima untuk memperoleh BR1M.

"Apa kata kalau kerajaan nak bagi BR1M disyaratkan rakyat perlu buat sesuatu yang lebih produktif untuk mengubah hidup mereka mengikut daya kemampuan mereka seperti tanam pokok rambutan atau tanam sayuran belakang rumah bagi penerima yang ada tanah di sekeliling rumah mereka.

"Bayangkan kalau separuh daripada penerima BRIM tanam pokok rambutan atau sayuran pastinya mereka dapat makan buahnya atau menjual hasil tuaiannya untuk menambah ekonomi keluarga berterusan hasil daripada pemberian BRIM itu," ujar beliau.

Pembentangan Bajet 2017 Jumaat lalu Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak yang juga menteri kewangan itu mengumumkan mengenai kadar pemberian bantuan BRIM akan dinaikkan.

Pendapatan isi rumah RM 3,000 dan ke bawah dinaikkan daripada RM 1,000 kepada RM1,200.

Bagi Pendapatan isi rumah RM 3,001 hingga RM4,000 dinaikkan daripada RM800 kepada RM900.

Bagi pendapatan bagi bujang RM2,000 ke bawah dinaikkan daripada RM400 kepada RM 450.

Dan melalui e-Kasih memperoleh kenaikan RM1,200 daripada RM1,050 pada 2016.

BR1M mula diperkenal pada 2012, yang memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah, dengan memberi bantuan tunai sebanyak RM500 kepada ketua isi rumah berpendapatan RM3,000 dan ke bawah ketika ia mula diperkenalkan.

Pada 2013, BR1M 2.0 diteruskan dan diperluaskan kepada individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan.

Pada 2014 BR1M 3.0, bagi isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah dinaikkan daripada RM500 kepada RM650, manakala bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

BR1M 3.0 diperluas kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450.

Dalam Bajet 2015, kerajaan menaikkan kadar BR1M 4.0 kepada RM950 daripada RM650 untuk isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah dibayar secara tiga kali ansuran iaitu pada Januari, Mei dan September.

Bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000; kerajaan meningkatkan kadar BR1M daripada RM450 kepada RM750 manakala bagi kategori individu bujang berumur 21 tahun ke atas dan berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, kadar itu dinaikkan daripada RM350 kepada RM400.

Tiada ulasan: