HALAMAN SANTAI

Selasa, 25 Oktober 2016

Penguatkuasaan lemah punca Sg Semenyih tercemar, bukan disabotaj - Budiman

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Zohdi menepis dakwaan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa air di Sungai Semenyih itu tercemar akibat perbuatan khianat.
 
Ditemui Antarapos, beliau berkata pencemaran yang berlaku semenjak beberapa bulan kebelakangan ini adalah disebabkan oleh kelemahan daripada segi penguatkuasaan oleh pihak yang dipertanggungjawabkan.
 
"Saya tidak lihat ia elemen sabotaj, sebaliknya penguatkuasaan. Jika ada kilang-kilang haram, kita ada exco yang bertanggungjawab terhadap pemutihan kilang ini, jika ada penguatkuasaan yang tidak kuat. 
 
"Untuk negeri, tanah ini dibawah kuasa kerajaan negeri. Penguatkuasaan kilang haram ini membabitkan pihak PBT," katanya ketika ditemui di Lobi Dewan Rakyat, petang tadi.
 
Budiman mengulas kenyataan Azmin semalam, bahawa pencemaran air di sungai berkenaan yang menjejaskan kira-kira sejuta penduduk berlaku kerana disabotaj.
 
Pencemaran Sungai Semenyih itu menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa ditutup, sekaligus mengakibatkan empat daerah terjejas, iaitu Hulu Langat, Kuala Langat, Petaling dan Sepang.
 
Penutupan LRA itu adalah kali kelima dalam tempoh sebulan selepas Sungai Semenyih tercemar disyaki berpunca dari kawasan perindustrian di Nilai, Negeri Sembilan.
 
Malah Azmin mengesahkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sudah membuat laporan polis semalam, berhubung insiden pencemaran air di Sungai Semenyih.
 
Katanya, laporan tersebut dibuat supaya satu siasatan oleh polis boleh dilakukan bagi mengheret 'dalang' yang menyebabkan pencemaran tersebut ke muka pengadilan.
 
Tindakan itu dilakukan Azmin selepas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar mencabar Azmin untuk membuat laporan polis berhubung dakwaannya bahawa pencemaran air di Sungai Semenyih disabotaj oleh Barisan Nasional (BN) dan Umno.
 
Noh sebaliknya berkata, Azmin perlu menyedari perkara itu berpunca daripada kelemahan kerajaan negeri pimpinannya sendiri dalam menyelesaikan urusan pengambilalihan industri air di negeri itu.
 
 

Tiada ulasan: