HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Oktober 2016

Majoriti pengundi India masih sokong PKR, DAP

 
Pemimpin kedua parti berkata sentimen pengundi India menyebelahi pembangkang lantaran krisis kepimpinan MIC dan belanjawan Putrajaya.


kula

PETALING JAYA: Pemimpin PKR dan DAP berkata sokongan masyarakat India kepada parti mereka akan berkembang ketika MIC terus berpecah belah, dan Putrajaya belum melakukan secukupnya untuk masyarakat terpinggir itu.

Mereka juga yakin PKR dan DAP akan dapat mengekalkan 65% hingga 70% sokongan pengundi India dalam pilihan raya umum akan datang.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan M Kulasegaran berkata keputusan pilihan raya kecil lepas bukan jaminan sokongan pengundi India kembali ke Barisan Nasional.

“Keputusan pilihan raya kecil bukan paras sebenar sokongan seluruh negara kepada kerajaan,” kata Kulasegaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat.

Beliau menjawab laporan baru-baru ini yang mendapati biarpun pembangkang kemukakan wadah pelbagai kaum dan berasaskan keperluan, mereka akhirnya kembali kepada akar umbi masing-masing dan berkhidmat untuk masyarakat sendiri pasca pilihan raya lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Centre for Strategic Engagement (CENSE) Fui K Seong berkata parti Melayu akan kembali menggunakan templat isu masyarakat Melayu, hak Melayu dan agama kerana jika tidak parti itu tidak akan dapat mengekalkan asas sokongan mereka.

K Seong, yang pernah berkhidmat di firma perunding dasar awam, berkata DAP kembali semula untuk berkhidmat kepada masyarakat Cina manakala PKR pula pengundi Melayu.

Atas sebab itu, katanya masyarakat India, terutamanya golongan belia, kembali kepada MIC kerana mereka tidak temui ruang untuk mereka dalam pembangkang.

“Ini satu-satunya masyarakat yang saya lihat pemuda-pemudinya kembali ke Barisan Nasional,” katanya.

Kulasegaran, ahli kepada parti dominan Cina yang mentadbir Pulau Pinang, berkata pembangkang boleh meningkatkan paras sokongan pengundi India memandangkan MIC berpecah angkara krisis kepimpinan.

“Tambahan pula, BN tidak boleh dan tidak akan menunaikan janji mereka kepada masyarakat India,” katanya merujuk kepada Bajet 2017 dan program masyarakat belanjawan itu yang disifatkan sebagai hadiah sementara.

Ahli biro politik PKR Sivarasa Rasiah turut meragui penemuan K Seong dan berkata kajian di Selangor sebelum ini mendapati sokongan orang India kepada perikatan pembangkang sebelum ini, Pakatan Rakyat (DAP, PKR dan PAS) semakin kuat.

“Kita menjaga golongan miskin dan yang memerlukan, termasuk orang India yang membentuk 15% penduduk negeri itu,” kata Sivarasa, ahli kepada parti yang mentadbir negeri terkaya di Malaysia.

Sivarasa, yang juga Ahli Parlimen Subang berkata sejak 2 tahun lalu Kerajaan Negeri memperkenalkan program mikrokredit RM150 juta dan kira-kira 200 orang India dibantu di setiap 56 DUN.

“Sejumlah 50% daripada belanjawan tahunan RM3 bilion kami diperuntukkan kepada pembangunan berbanding peruntukan daripada Putrajaya,” katanya.

Dalam pilihan raya umum lepas, pengundi memilih lebih ramai ahli Parlimen DAP dan PKR ke Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan berbanding MIC.

Tiada ulasan: