Hanya
Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di tiga negeri tidak memberi
kerjasama kepada Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) yang ditubuhkan
kerajaan Persekutuan.
Negeri itu ialah Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan, yang
masing-masing diperintah oleh DAP, PKR dan Pas menerusi pembentukan
Pakatan Rakyat (PR) dan Pakatan Harapan (PH).
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan
Sri Noh Omar menjelaskan, JPP adalah jawatankuasa yang bergerak sebagai
satu entiti dianggotai wakil masyarakat setempat dalam kawasan bandar.
Menurutnya, fungsinya adalah bagi memantau pelaksanaan program
pembangunan kemasyarakatan dan modal insan yang dilaksanakan sepenuhnya
oleh kerajaan pusat, di samping menangani isu perbandaran serta
penyampaian perkhidmatan secara berterusan.
"Tidak timbul dakwaan sebelah (pembangkang) mengatakan penubuhan
JPP membazir wang rakyat dan kerajaan. Ia untuk Kerajaan Persekutuan,
sebagai Ahli Majlis PBT yang berfungsi bagi kerajaan negeri.
"Penubuhannya dibuat setelah kerajaan mengambil kira lebih 70
peratus penduduk negara ini tinggal dalam bandar dan isu-isu perbandaran
pula menjadi semakin kompleks," katanya menjawab soalan bagi sesi
Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan di Parlimen hari ini.
Kata Noh, bagi membantu Pengerusi JPP yang dilantik kementeriannya
untuk mengurus zon tadbir masing-masing, kerajaan membayar elaun
sebanyak RM800 bagi kawasan Majlis Perbandaran dan RM500 di kawasan
Majlis Daerah.
Setiausaha JPP bagi kawasan Majlis Perbandaran diberi elaun RM400 sebulan dan RM250 untuk kawasan Majlis Daerah.
Selain itu, katanya, lapan Ahli Jawatankuasa JPP juga diberi elaun
kehadiran mesyuarat sebanyak RM75 bagi setiap mesyuarat yang dihadiri
dengan maksimum enam kali setahun.
"Peruntukan ini ada di bawah kementerian saya, tapi kita tidak ada
peruntukan khas untuk mereka membuat sebarang aktiviti," katanya.
Mengulas lanjut pertanyaan Ng Wei Aik (DAP-Tanjong), Noh berkata,
JPP ada di seluruh negara, tetapi tugas antara Pengerusi jawatankuasa
itu dengan Ahli Majlis lantikan kerajaan negeri agak berbeza.
Sepatutnya ujar beliau, kedua-dua pihak berkenaan bekerjasama,
tetapi kerana di Pulau Pinang diperintah oleh kerajaan yang berbeza
dengan Barisan Nasional (BN), maka mungkin ada ketidakserasian kerana
sebagai Pengerusi JPP, ia dilantik secara pentadbiran oleh Kerajaan
Persekutuan.
"Pada masa sama, kita tahu dalam zon yang dilantik JPP ini ada juga Ahli Majlis yang dilantik kerajaan negeri," katanya.
Beliau turut menjelaskan, dakwaan pembaziran wang negara untuk
membayar elaun kepada JPP tidak tepat kerana mereka ada tugas
masing-masing. - MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan