Naib Presiden UMNO, Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein berkata, bekas Perdana Menteri yang juga
Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak berhak untuk
mengatakan kepimpinan UMNO sekarang lebih teruk berbanding eranya,
kerana yang menentukan kedudukan parti ialah rakyat.
Beliau yang diminta mengulas kehadiran
Dr. Mahathir di Parlimen bagi bermesyuarat dengan pemimpin pembangkang
termasuk Lim Kit Siang berkata, apa yang dilakukan oleh pemimpin
sekarang iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak ialah meneruskan kesinambungan
bekas presiden parti itu.
"Dia
tak layak kata era dia lebih baik banding era Najib. Kalau dia anggap
kepimpinannya baik, bukan dia tentukan. Rakyat akan tentukan dan biar
sejarah yang menilainya," katanya.
Ditanya apakah memberi kesan besar
kepada UMNO dengan kehadiran Tun Dr. Mahathir di Parlimen, Hishammuddin
berkata, beliau tidak kisah.
"Saya tak kisah pun ada kesan atau tidak ada kesan. Dia dah buat macam-macam (memburukkan) kepada UMNO," katanya pada
sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Konvensyen
Pemerkasaan Agenda Ummah di Menara Dato’ Onn di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau
ditanya mengenai tindakan Ketua Kumpulan Baju Merah, Datuk Seri Jamal
Md. Yunus yang dilihat jika dibiarkan boleh menjejaskan nama baik UMNO,
katanya, dari dulu beliau berpendirian mana-mana pihak tidak kira dari
UMNO atau parti lain jika melanggar undang-undang perlu diambil
tindakan.
"Kes Jamal ini saya serahkan kepada pihak berkuasa," katanya.
Sementara itu Hishammuddin yang juga
Menteri Pertahanan mengulangi penafian kononnya rombongan perdana
menteri ke China minggu lalu membuat perjanjian pembelian kapal perang
bernilai RM3 bilion.
"Itu fitnah. Saya sudah jawab di Parlimen pagi tadi. Harap mereka (pembangkang) faham.
"Saya tegaskan, tidak ada urusan atau perjanjian jual beli kapal sebanyak itu," katanya
Beliau menjawab kenyataan Ahli
Parlimen Kampar, Dr. Ko Ching Sen yang mempertikaikan kerajaan membeli
10 kapal tempur pesisir daripada China dengan kos RM3 bilion.
Kata Hishammuddin, apa yang berlaku di
China ialah persetujuan sebuah syarikat di negara itu untuk membina
sebuah kapal perang yang kosnya jauh lebih murah berbanding negara lain.
Kata beliau, kos membina kapal itu menggunakan duit dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bukan Kementerian Pertahanan.
"Kalau ada pihak atau syarikat di
mana-mana negara termasuk Malaysia boleh membina atau membina kapal
dengan harga murah dan cepat, kita bersedia berurusan dengan mereka,"
katanya. - MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan