Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN] Pendirian
PKR berhubung nasib orang Melayu Pulau Pinang adalah cukup jelas.
Secara rasminya parti reformasi itu insaf bahawa DAP tidak mampu membela
nasib mereka.
"Harus diingat Ketua Menteri daripada kaum Cina, seorang pimpinan DAP.
Maka tentulah beliau hendakkan input dari orang Melayu yang di luar
DAP.
“Beliau boleh dapat (pandangan) dari exconya, namun kesemua mereka
berada di bawahnya. Tentunya mereka akan mempunyai pandangan berbeza.
"Saifuddin ke sana dengan satu matlamat. Bukan soal imej sahaja,
mungkin secara tak langsungnya dapat 'mileage' itu,” kata Ketua Whip
PKR, Datuk Johari Abdul.
Namun lebih penting, katanya, sebagai seorang pemimpin Melayu PKR,
Saifuddin terjun ke Pulau Pinang untuk membantu menaikkan taraf
ekonomi dan sosial kaum Melayu.
“Apakah itu salah?," soal Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani.
Sudah tentu jawapan pada persoalan Johari ialah, ia memang tidak salah.
Memang tanggungjawab setiap parti politik Melayu-Islam seperti PKR
ialah membantu umat Melayu-Islam tidak kira di mana.
Namun dalam satu nafas yang sama Johari juga mengakui bahawa kerajaan
DAP Pulau Pinang memang belum berjaya membantu meningkatkan tahap
sosio-ekonomi orang Melayu-Islam di negeri itu sejak mula memerintah
pada 2008.
Lebih memilukan ialah kenyataan Johari itu adalah pengakuan bahawa
perwakilan PKR dalam kerajaan Pulau Pinang sejak sembilan tahun lalu
memang tidak berkesan melonjakkan mutu kehidupan rakyat Melayu-Islam di
negeri itu.
PKR mempunyai wakil rakyat Melayu sejak 2008 hingga ke peringkat
Timbalan Ketua Menteri. Ia juga mempunyai ahli exco dalam kerajaan
negeri.
Bagaimanapun sedihnya, di akhir musim kedua pemerintahan DAP dan PKR di
Pulau Pinang barulah usaha “memperjuangkan agenda Melayu-Islam” hendak
diperkasakan dan PKR bersorak bahawa Setiausaha Agungnya orang paling
layak menggalas tugas itu.
"Ya, kita ada exco (kerajaan negeri), namun dari segi strateginya Ketua
Menteri memerlukan seorang yang berpengalaman, dan pengalaman itu mesti
datang dari seseorang yang matang, berkelayakan dan berpengalaman
politik.
"Sebagai seorang bekas setiausaha politik menteri dan sekarang
Setiausaha Agung PKR dan pernah menjadi ADUN dan Ahli Parlimen, maka
tidak ada orang yang lebih layak daripada beliau (Saifuddin) untuk
menasihati Ketua Menteri atas isu-isu khususnya melibatkan orang
Melayu," katanya.
Saifuddin, minggu lalu dilantik kerajaan negeri sebagai Penasihat
Strategik Guan Eng dan inisiatif itu menurut Guan Eng ialah untuk
memulihkan imej DAP yang sebelum ini didakwa sebagai anti-Melayu dan
Islam.
Bagaimanapun, mengapa bakat dan kemahirannya tidak digunakan sepenuhnya untuk meningkatkan nasib rakyat Selangor yang diperintah PKR?
Mutakhir ini banyak rungutan rakyat kedengaran berhubung prestasi
kerajaan Selangor. Dari isu perkhidmatan air, urusan sampah, kemudahan
serta kebajikan rakyat lain, mutu perkhidmatan di bawah Datuk Seri Azmin
Ali jelas ada kemerosotan.
Ketika itu, Khalid bermasalah dalam merapatkan perkhidmatan kerajaannya
dengan aspirasi PKR. Namun Khalid berjaya menyekat Saifuddin mengisi
jawatan berkenaan sehingga akhirnya Khalid meletak jawatan.
Kepakaran Saifuddin diperlukan untuk bela nasib Melayu-Islam Pulau Pinang?
Isunya kini, inisiatif “meminjamkan” kepakaran Saifuddin ini
mendedahkan bahawa baik DAP mahupun PKR hanya bekerja untuk rakyat
Melayu-Islam Pinang pada saat-saat akhir sahaja.
Dengan perkataan lain soal kebajikan orang Melayu-Islam di Pulau
Pinang, baik di mata DAP mahupun PKR, bukanlah satu keutamaan. Kini
dalam menghadapi PRU 14, barulah kedua-duanya (bekerjasama?)
meningkatkan pembangunan untuk mereka.
Setelah meminggirkan kepentingan Melayu Islam di negeri itu barulah
mereka terkocoh-kocoh mencari Saifuddin untuk membuat perbaikan.
Yang dikhuatiri ialah, dengan masa yang semakin suntuk menjelang PRU
14, sudah tentu apa yang mampu dilakukan oleh Saifuddin ialah
pembangunan bersifat tempelan atau kosmetik sahaja.
Inisiatif Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memang baik. Namun soal keikhlasannya wajar dipersoalkan.
Restu dan sokongan PKR untuk “menutup” kelemahan DAP adalah satu
persekongkolan untuk “mempermainkan” nasib Melayu-Islam di negeri itu.
Bakat dan kepemimpinan sebenar Saifuddin agak terlindung oleh sifir
politik ini.
Namun yang lebih sesuai dan perlu diutamakan oleh Saifuddin ialah
memperkukuh kubu dan sokongan rakyat di Selangor untuk partinya. Dengan
kemunculan parti Amanah, politik pembangunan di Selangor semakin
kompleks.
Ini kerana PKR perlu mengimbangi keghairahan Amanah untuk mempamerkan
kemampuan kepimpinannya di Selangor melalui wakil-wakil dan kerajaan
tempatan dengan prestasi wakil PAS yang masih menjadi sekutu PKR di
Selangor.
Namun mungkin Azmin dan konco-konconya yakin bahawa kerajaan
pimpinannya masih kukuh dan tidak akan tumbang tanpa sokongan dan usaha
daripada jentera PKR di bawah pimpinan Saifuddin.
Usahlah Saifuddin nanti terkilan PKR ‘menang sorak tetapi kampung
tergadai’ di Selangor kerana sibuk ‘menyusukan kera politik DAP di Pulau
Pinang dan anak siasah PKR di Selangor mati kelaparan’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan