SEPANG: Lebih RM200,000 jumlah denda dikenakan Suruhanjaya Pengangkutan
Awam Darat (SPAD) kepada individu yang mengambil penumpang secara haram
di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 melalui
tangkapan dijalankan sepanjang tahun lepas.
Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che
Ahmad berkata, operasi penguatkuasaan yang dilakukan secara berterusan
sepanjang 2016 itu membabitkan 58 kes tangkapan terdiri daripada pemandu
teksi, kereta sapu, Uber dan Grab serta ulat tiket.
"Aktiviti 'mengulat' atau menarik penumpang yang tiba di lapangan
terbang ini berleluasa sejak bertahun lalu dan menjejaskan pendapatan
pemandu teksi berdaftar di KLIA dan KLIA2.
"Seramai 58 individu terbabit merupakan warga tempatan dan tangkapan
dibuat mengikut Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD)
2010. Pada tahun lalu juga, sebanyak 58 kenderaan disita akibat
kesalahan mengambil penumpang secara haram di KLIA dan KLIA2," katanya
pada sidang media sempena 'Ops Parasit' di KLIA, malam tadi.
Menurut Che Hasni, dalam operasi terbaharu semalam yang bermula 6 pagi
hingga 8 malam, pihaknya berjaya menahan tiga ulat teksi di KLIA serta
KLIA2, mereka kini direman dan akan dibawa ke Mahkamah Sepang untuk
sebutan kes hari ini.
Beliau berkata, pihaknya mendapati aktiviti 'mengulat' menjadi lebih
parah dengan penglibatan pemandu Uber dan Grab yang mula dikesan aktif
di 2 lokasi tersebut sejak Oktober lepas.
"Ketika menjalankan aktiviti 'mengulat' itu, mereka biasanya akan
menutup aplikasi digunakan bagi mengelak dikesan pihak syarikat
pengendali perkhidmatan masing-masing dan kemudian akan menarik
penumpang dan pelancong yang baru tiba di lapangan terbang."
Katanya, sepanjang operasi itu dilakukan, ada pemandu yang sudah
ditangkap SPAD sehingga 3 kali atas kesalahan sama kerana hasil
pendapatan lumayan yang berjaya diraih melalui aktiviti tersebut.
"Untuk kes seperti itu, biasanya kita akan meminta mahkamah mengenakan
hukuman lebih berat berbanding sebelumnya untuk kesalahan berulang,"
katanya.
Katanya, operasi penguatkuasaan untuk menangkap individu yang terlibat
dengan aktiviti 'mengulat' akan diteruskan tahun ini dan meminta
kerjasama penumpang tidak menggunakan perkhidmatan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan