PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini giat
memantau penjawat awam dan isteri yang gemar menunjuk-nunjuk barangan
mewah yang dimiliki, selain percutian keluarga bertaraf lima bintang di
laman media sosial terutama Facebook dan Instagram.
Selain itu, aktiviti bermain golf di luar negara melibatkan penjawat
awam berjawatan tinggi, serta kegiatan pegawai kerajaan peringkat
pertengahan dan rendah juga dipantau rapi kerana ada kes di mana gaya
hidup mereka tidak seiring dengan pendapatan bulan.
Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki mengesahkan
pihaknya memantau laman sosial penjawat awam yang gemar menunjuk-nunjuk
gaya hidup mewah mereka.
"Kami bergantung kepada maklumat awam dan bukti yang dikumpul pegawai
risikan bagi menyiasat kegiatan yang dikesan," katanya sambil menambah
ia tugasan mencabar kerana melibatkan 1.6 juta penjawat awam.
Memetik laporan The Star, terdapat kes di Sabah di mana sekumpulan
penjawat awam yang bercuti ke London dan menunjuk-nunjuk aktiviti
sepanjang tempoh percutian itu di Facebook hingga ia menjadi bualan
ramai.
Katanya, tidak salah bagi penjawat awam dan ahli keluarga untuk memiliki beg tangan dan jam tangan mewah.
"Tetapi memiliki lebih daripada satu beg tangan mewah jenama Hermes,
Chanel or Louis Vuitto boleh menimbulkan keraguan dan rasa syak mengenai
dari mana datangnya sumber kewangan itu.
"Jika penjawat awam atau ahli keluarga mereka memiliki banyak beg
tangan mewah dan menunjuk-nunjuk pula, kami mahu tahu dari mana mereka
dapatkan wang untuk membeli barangan mewah itu," katanya.
Azam diminta mengulas siasatan terkini berkaitan dakwaan rasuah
melibatkan seorang ketua setiausaha sebuah kementerian apabila sejumlah
barangan mewah termasuk 150 beg tangan dan jam dirampas dan disita dalam
operasi di sebuah rumah di Subang Jaya pada Rabu.
Oktober lalu, sejumlah barang kemas mencecah RM3.64 juta dan beg tangan
berjenama bernilai RM500,000 dirampas daripada dua pegawai kanan
Jabatan Air Sabah.
Kata Azam, pihaknya juga akan bekerjsama rapat dengan pihak berkuasa
lain seperti Jabatan Imigresen bagi memeriksa kekerapan perjalanan
penjawat awam terlibat ke luar negara bersama ahli keluarga dan tujuan
berbuat demikian.
"Inilah antara petunjuk yang digunakan sebagai sebahagian langkah
siasatan terhadap penjawat awam yang menjalani kehidupan melebihi
keupayaan mereka," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan