Pihak polis sepatutnya memberi perhatian serius terhadap pemimpin yang mencuri duit rakyat berbanding memberi tumpuan untuk menurunkan papan iklan #BebasAnwar#Selamatkan Malaysia.
Ahli parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata, banyak lagi perkara bermanfaat yang boleh dilakukan oleh pihak polis untuk mencegah jenayah daripada menurunkan papan iklan atau 'Billboard' #BebasAnwar#Selamatkan Malaysia.
"Majlis Perbandaran Seberang Perai boleh melaksanakan kerja-kerja menurunkan papan iklan dan bukannya tugas polis untuk bertindak demikian.
"Tindakan ini secara jelas membuktikan betapa takutnya kerajaan Umno dan BN terhadap sokongan rakyat terhadap oposisi.
"Banyak lagi tugas polis yang boleh dilakukan untuk mencegah jenayah dari memberi tumpuan terhadap papan iklan tersebut, " katanya kepada pemberita selepas merasmikan program penutup 'JomBaca' yang diadakan di Penanti, semalam.
Polis bertindak menurunkan papan iklan #BebasAnwar#Selamatkan Malaysia di Jalan Baru, Alma, Bukit Teh dan Permatang Tinggi.
Wan Azizah juga berkata, tindakan pihak polis menahan seorang petugas yang memasang papan iklan tersebut di Jalan Baru, Perai serta didakwa dibawah Akta Hasutan adalah tidak wajar.
"Umno dan BN semakin terdesak untuk menyekat kebangkitan rakyat yang terbukti telah beralih sokongan.
"Mereka juga terpaksa menggunakan apa jua cara termasuklah memperkudakan pelbagai agensi kerajaan untuk memastikan sokongan rakyat terhadap pembangkang terhakis.
"Namun begitu, terbukti semakin banyak helah mereka, semakin bercambah sokongan rakyat menuntut perubahan dilaksanakan, " tegasnya lagi.
Sehubungan itu katanya, apa jua halangan yang cuba dilakukan oleh Umno BN tidak mampu untuk menyekat kemarahan rakyat yang semakin terbeban dengan pelbagai polisi yang tidak adil.
Tambahnya lagi, tindakan terdesak kerajaan menurunkan papan iklan tersebut tidak dapat dinafikan bertujuan bagi menghalang kehadiran rakyat untuk bersama-sama Anwar pada 9 Januari di Mahkamah Tingi Pulau Pinang.
Walau bagaimanapun ujarnya, perbuatan tersebut bukan saja menyemarakkan lagi semangat rakyat untuk mendesak kerajaan bersikap adil, sebaliknya mempertontonkan ketakutan sebenar Umno dan BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan