shahbudindotcom
Sebagaimana
yang dijangka, lawatan Raja Salman bin Abdul Aziz al-Saud, pemerintah
Arab Saudi ke negara ini akan cuba dimanfaatkan sebaiknya, antara lain
untuk mengambus isu wang RM2,600 juta yang diterima Najib Razak melalui
akaun peribadinya.
Tidak
saja penyokong dan pengampu Najib serta askar siber 6.6 peratus yang
ghairah berbuat demikian, bahkan seorang profesor universiti juga
bersikap sama.
Hujah
mereka tidak lain ialah jika wang yang diterima Najib itu bukan
benar-benar derma daripada kerabat Diraja Arab Saudi, tidak mungkin Raja
Salman sanggup mencemar duli mengadakan lawatannya ke Malaysia ini.
Makna
kata, hujah mereka ialah dengan datangnya Raja Salman itu ia dengan
sendirinya mengesahkan wang yang diterima Najib itu adalah derma
daripada kerabat Diraja Arab Saudi.
Malah
Profesor universiti yang tak pernah dikenali itu berkata lagi,
kehadiran Raja Salman bukan saja mengesahkan wang itu datang daripada
keluarga Diraja Arab Saudi, malah juga diberikan berdasarkan pencapaian
dan usaha Najib memartabatkan Islam di negara ini dan juga di peringkat
global.
Amboii...agak-agak lerr dan pandanglah kiri kanan dulu kalau ia pun nak mengampu Najib sampai begitu tinggi!!
Kalau
Anwar Ibrahim tidak berada di penjara ketika ini, pastilah digelarnya
profesor sedemikian itu sebagai "profesor kangkung" yang bukan saja
mencemarkan nama universiti, tetapi juga ketamadunan ilmu dalam menilai
sesuatu perkara.
Jika
diimbas kembali, walaupun tidak dinamakan siapa kerabat Diraja Arab
Saudi yang didakwa memberi wang kepada Najib itu, paling mungkin ia
adalah Putera Turki Abdullah al-Saud, pemilik PetroSaudi yang diketahui
ada urusniaga dengan 1MDB.
Kerabat-kerabat
yang lain tidak mungkin boleh dikaitkan dengan derma kepada Najib
kerana mereka tidak ada apa-apa urusniaga atau kepentingan untuk berbuat
demikian.
Bak
kata Tun Mahathir Mohamad, orang gila pun tak mungkin sedia menderma
sebanyak itu tanpa apa-apa sebab, lebih-lebih lagi jika difahami
perangai orang Arab itu sendiri.
Ayah
Putera Turki, Raja Abdullah al-Saud adalah Raja Arab Saudi sebelum Raja
Salman dan sudah meninggal dunia pada penghujung 2015 yang lalu.
Sebaik
Raja Salman menaiki takhta, antara tindakan yang diambilnya ialah
memecat Putera Turki sebagai Gabenor Riyadh untuk mengukuhkan lagi
cengkaman kuasanya.
Dalam
konteks ini, jika pun ada yang masih mempercayai wang RM2,600 juta itu
sebagai derma daripada kerabat Diraja Arab Saudi, Raja Salman jelas
telah lama menjarakkan dirinya dengan perkara tersebut.
Dalam
erti kata lain, lawatan beliau ke Malaysia tidak boleh lagi dikaitkan
dengan mana-mana kerabat yang mungkin boleh dikaitkan dengan Najib.
Selain
itu, harus juga difahami bahawa lawatan Raja Salman bukan saja ke
Malaysia, tetapi juga ke Indonesia, Jepun dan juga China. Di Malaysia,
singgahnya beliau hanya empat hari berbanding di Indonesia selama 10
hari, termasuk berehat di Bali selama enam hari.
Tetapi
di Indonesia, mereka tidak kecoh-kecoh dengan lawatan Raja Salman
kerana Jokowi tiada apa-apa yang mahu dibersihkan dengan kunjungan
Penjaga Dua Kota Suci itu.
Media-media
antarabangsa pula melaporkan lawatan Raja Salman ke beberapa negara
Asia kali ini adalah dalam misi untuk menjual IPO Aramco, syarikat
minyak milik Arab Saudi.
Jika
kita berpegang kepada bukti nyata dan penemuan di Amerika Syarikat,
Switzerland dan Singapura, wang RM2,600 juta itu bukanlah derma sesiapa,
sebaliknya lencongan daripada dana 1MDB yang dicuri.
Dalam
kertas pendakwaan Jabatan Kehakiman Amerika, jelas disebut sejumlah
AS$731 juta atau lebih RM3,000 juta keseluruhan wang 1MDB yang
dilencongkan telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi "Malaysian
Official 1".
Di
Switzerland, Jabatan Peguam Negaranya juga mendapati penemuan yang sama
dan memohon kerjasama MLA daripada Malaysia bagi siasatan dan
pengesahan lanjut. Malangnya, dua kali pernohonan MLA itu ditolak oleh
Peguam Negara kita.
Jika tiada apa-apa yang ingin dilindungi, mengapakah kita takut untuk memberi kerjasama MLA kepada pihak berkuasa Switzerland?
Di
Singapura, selain lima orang sudah dihukum penjara dan dua buah bank
ditutup angkara 1MDB, menjadi fakta mahkamah juga bahawa Tanore Finance,
syarikat yang dibuktikan menyalurkan wang ke dalam akaun peribadi Najib
di Ambank itu adalah kepunyaan Eric Tan Kim Loong.
Lebih
mengejutkan turut disahkan di mahkamah Singapura bahawa Eric Tan dan
Jho Low adalah orang yang sama yang mempunyai dua passport berbeza. Wang
tersebut disalurkan melalui BSI Bank, cawangan bank Switzerland yang
diarahkan tutup oleh pihak berkuasa kewangan Singapura.
Berdasarkan
bukti yang nyata dan penemuan sahih di beberapa negara, wang RM2,600
juta dalam akaun peribadi Najib itu tidak ada kaitan sama-sekali dengan
derma atau kerabat Diraja Arab Saudi.
Jadi,
mengaitkan wang yang diterima Najib kononnya tidak lagi menjadi isu dan
sudah lenyap dengan kedatangan Raja Salman agak kelakar bunyinya dan
tidak masuk akal, kecuali memang kita tidak mahu melihat fakta-fakta
kebenaran yang ada di depan mata.
Raja
Salman melawat Asia, termasuk Malaysia adalah atas agenda yang lebih
besar untuk kepentingan Arab Saudi. Beliau tidak mungkin bercakap
mengenai wang dalam akaun peribadi Najib kerana ia tidak berkait dengan
kepentingan Arab Saudi, lagi pun mustahil mereka tidak membaca portal
berita antarabangsa seperti WSJ, NY Times, Guardian dan sebagainya.
Hanya
golongan pengampu dan perasan saja yang merasakan lawatan Raja Salman
telah melenyapkan isu RM2,600 juta. Isu tersebut bukan saja terus ada,
malah dengan datangnya Raja Salman ia membuatkan lebih ramai yang
percaya dana itu bukan derma daripada kerabat Diraja Arab Saudi, kecuali
Raja Salman sendiri dapat mengesahkannya atau Najib berani meminta
Penjaga Dua Kota Suci itu untuk membersihkan namanya.