HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Februari 2017

Seleweng dana YAWAS, lima ahli parlimen KL turut terima peruntukan

Manzaidi Mohd Amin
Jamal menunjukkan kepada media carian di Jabatan Insolvensi Malaysia berhubung status kebankrapan Pengurus Besar YAWAS
SHAH ALAM – Sekurang-kurangnya lima ahli parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur didakwa turut menerima peruntukan daripada Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).

Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Seri Jamal Md. Yunos ketika mendedahkan perkara itu meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempercepatkan siasatan ke atas mereka sebagaimana laporan yang dibuatnya minggu lalu.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu mendakwa mempunyai bukti berlaku penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dengan peruntukan ratusan juta dari kerajaan Selangor kepada YAWAS yang didakwa diurus oleh pengurus besar yang berstatuskan bankrap.

Kata Jamal, YAWAS adalah anak syarikat kerajaan negeri yang paling banyak menerima peruntukan setiap tahun.

“Peruntukan ini adalah untuk menjaga kebajikan rakyat Selangor tetapi kenapa ahli parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut menerima sebahagian besar daripada peruntukan itu?

“Saya telah bertanyakan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tetapi tidak ada jawapan sehingga sekarang.

“Kita, selaku NGO Selangor ingin tahu bagaimana peruntukan itu boleh disalurkan kepada Parlimen Wangsa Maju, Cheras, Batu, Siputeh dan Kepong sedangkan Parlimen yang diwakili DAP dan PKR ini bukan dalam Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan pada sidang media di luar bangunan Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri di Shah Alam hari ini.

Jamal dan rombongannya bagaimanapun tidak dibenarkan masuk ke kawasan kompleks itu dan pintu pagar utama dikunci dengan kawalan polis serta pengawal keselamatan.

Menurut Jamal, YAWAS ditubuhkan untuk mengendali dan mengurus beberapa skim di bawahnya termasuk Skim Usia Emas, Tabung Warisan Anak Selangor, Skim Bantuan Tadika Selangor dan Insentif Perkahwinan Belia.

Beliau mendakwa, mulai tahun ini, YAWAS diberi tanggungjawab mengendalikan Insentif Peduli Rakyat (IPR) yang sebelum ini dikenali Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Jamal meminta Mohamed Azmin menjelaskan kepada rakyat Selangor bagaimana Pengurus Besar YAWAS, Kamsani Nasir yang telah diisytiharkan bankrap sejak tahun 2008 boleh dipilih mengetuai yayasan yang mengurus duit rakyat.

“Saya juga ingin memohon penjelasan Mohamed Azmin selaku Pengerusi Pemegang Amanah YAWAS menjawab persoalan yang timbul, iaitu betul atau tidak berlakunya kehilangan dana berjuta ringgit yang sepatutnya disalurkan untuk Skim Mesra Usia Emas (Khairat Kematian) Selangor,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: