HALAMAN SANTAI

Khamis, 23 Februari 2017

Husam langgar Akta Perkhidmatan Kewangan?

MALAYSIAKINI


Akar umbi PAS menggesa pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Husam Musa disiasat bawah Akta Perkhidmatan Kewangan (FSA) 2013.

Ini susulan kenyataan Husam yang mengiyakan dakwaan sebanyak RM90 juta disalurkan kepada PAS oleh parti lawan Umno melalui akaun di Affin Bank.

“Demi kepentingan awam, maka PAS kawasan Subang telah meluluskan sebulat suara melalui mesyuaratnya untuk kes ini disiasat di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

“Oleh itu, satu laporan polis dibuat pada 20 Februari 2017, jam 10:37 pagi di IPD Sungai Buloh bernombor repot SG Pelong/000727/17,” kata yang dipertua PAS Subang Zaharudin Muhammad.

Husam dalam ceramahnya sebelum ini turut membayangkan untuk mendedahkan lebih banyak butiran mengenai isu berkenaan menjelang pilihan raya umum akan datang.

Isu aliran dana itu mula dibangkitkan oleh Sarawak Report pada Ogos tahun lalu. PAS berkata mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap laman pembocor maklumat itu.

Pemuda PAS Kelantan pula membuat laporan polis terhadap Husam sebelum ini. Bagaimanapun mereka berharap pihak berkuasa menyiasat Husam Seksyen 500 Kanun Keseksaan berkaitan penyebaran maklumat palsu.

Dalam kenyataannya di laman web rasmi PAS semalam, Zaharudin berkata pihaknya telah meneliti rakaman dakwaan Husam, bekas naib presiden mereka yang berpaling tadah itu, dan memandang serius dakwaannya.

“Pihak kami memandang serius dakwaan ini justeru jika benar, maka ia dilihat bercanggah dengan garis panduan syariat berkenaan menerima hadiah dan sumbangan khususnya daripada pihak musuh di samping ianya juga bercanggah dengan integriti dan moral itu sendiri,” katanya.

Lebih pada 'buat kecoh'

Bagaimanapun, kata Zaharudin, mereka melihat kenyataan Husam itu lebih untuk “membuat kecoh” kerana maklumat dalaman bank-bank di Malaysia di tahap “maha rahsia” yang dilindungi oleh akta-akta dan undang-undang.

Zaharudin berkata, jika benar Husam tahu aliran wang di Affin Bank, bermakna data keselamatan pelanggan yang dilindungi oleh Akta Perkhidmatan Kewangan dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) telah terjejas.

“Mungkin YB Datuk Husam menipu orang ramai kerana mustahil beliau boleh mengetahui data bank yang dikategorikan sebagai maklumat maha-sulit yang dilindungi oleh FSA 2013 dan IFSA 2013,” katanya.

“Atau mungkin Husam diberikan maklumat yang salah oleh pihak ‘orang dalam’ Affin Bank dan jika ini benar, maka kesemua penyimpan di Affin bank adalah tidak selamat dan ‘orang dalam’ itu mesti dicari oleh pihak polis dan Affin Bank sendiri.”


Zaharudin juga menuntut Husam menamakan pihak yang didakwanya menerima wang itu supaya ia dapat “ditendang keluar dari parti”.
“Jika benar sebagaimana dakwaannya, maka pihak kami mencabar Datuk Husam Musa bertanggungjawab mendedahkan siapakah orang yang didakwa itu supaya ia ditendang keluar daripada parti oleh ahli-ahli yang ikhlas.

“Selagi mana nama itu tidak didedahkan sendiri oleh YB Datuk Husam Musa, maka kami dan seluruh rakyat Malaysia berhak untuk mendakwa YB Datuk Husam Musa sebagai berbohong demi politik murahan,” katanya.

Tiada ulasan: