KUALA LUMPUR: Agen saraf VX yang digunakan dalam pembunuhan Kim
Jong-nam di Malaysia pada 13 Februari lalu, dilaporkan telah digunakan
secara meluas semasa pembunuhan beramai-ramai Halabja di Iraq oleh
Saddam Hussein pada 1988.
Menurut pelbagai laporan berita, pada 16 Mac tahun itu, pesawat-pesawat
Iraq menggempur bandar kaum Kurdish Halabja dengan menggugurkan
kanister senjata kimia termasuk VX menyebabkan 3,500 hingga 5,000 orang
maut dalam masa beberapa minit.
Sebanyak 7,000 hingga 10,000 orang lagi dilaporkan cedera, cacat atau mengalami masalah kesihatan jangka panjang.
Insiden itu, yang secara rasmi ditakrifkan oleh Tribunal Tertinggi
Jenayah Iraq sebagai pembunuhan beramai-ramai terhadap kaum Kurdish di
Iraq, masih kekal sebagai serangan senjata kimia terbesar dalam sejarah
ditujukan terhadap kawasan populasi awam.
Rejim Presiden Iraq ketika itu dilaporkan telah melakukan antara
kekejaman paling dahsyat dalam era moden dalam memerangi kaum Kurdish
dan kumpulan etnik lain di Utara Iraq.
Isu agen saraf VX muncul di Malaysia apabila Ketua Polis Negara, Tan
Sri Khalid Abu Bakar mendedahkan bahawa VX ditemukan setelah analisa
awal ke atas calitan kering pada mukosa mata dan muka mangsa yang
diambil semasa siasatan terhadap pembunuhan Jong-nam.
Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un
berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 13 Februari
untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila tiba-tiba dua wanita yang
muncul di hadapannya menyapu cecair beracun menggunakan tangan pada
mukanya.
Jong-nam meminta bantuan di kaunter khidmat pelanggan di klia2 dan
segera dikejarkan ke Hospital Putrajaya tetapi meninggal dunia dalam
perjalanan.
Beliau tiba di Malaysia pada 6 Februari dan menggunakan pasport tertera nama Kim Chol.
Agen saraf VX dilaporkan mungkin telah digunakan sebelumnya semasa perang Iran-Iraq pada 1980-an.
Penggunaan satu lagi agen saraf yang membawa maut, Sarin, dilaporkan
berlaku dalam serangan ke atas kawasan pinggir Ghouta, dekat Damsyik,
Syria yang dikuasai puak pemberontak pada 21 Ogos 2013.
Sarin dilaporkan digunakan dalam serangan roket darat ke darat yang membunuh kira-kira 1,000 penduduk di sana.
Laporan PBB berkata sampel yang ditemui oleh makmal Organisation for
the Prohibition of Chemical Weapons mengandungi agen saraf sarin,
dijumpai daripada kebanyakan roket atau serpihan roket yang diperiksa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan