PYONGYANG: Korea Utara memiliki 5,000 tan senjata kimia, termasuk agen
saraf VX, yang didakwa digunakan untuk membunuh abang pemimpin negara
itu, Kim Jong-Nam.
Pakar Korea Selatan berkata, kesan VX, agen saraf yang disenaraikan
sebagai senjata pemusnah besar-besaran oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB), dikesan pada contoh yang diambil daripada muka dan mata
Jong-Nam, yang diracun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
(klia2) minggu lalu.
Penyiasat Malaysia menahan tiga orang yang terdiri daripada dua wanita
dari Indonesia dan Vietnam, dan seorang lelaki Korea Utara.
Polis Malaysia juga masih memburu tujuh lagi suspek, empat daripadanya dipercayai sudah melarikan diri ke Pyongyang.
Kementerian Pertahanan Korea Selatan berkata, Kertas Putih Pertahanan
2014 menyebut negara jirannya mula menghasilkan senjata kimia pada
1980-an dan menganggarkan ia kini memiliki 2,500 hingga 5,000 tan
simpanan.
Korea Utara memiliki kemudahan menghasilkan senjata kimia di lapan
lokasi termasuk di pelabuhan Chongjin di timur laut republik itu dan di
bandar raya Sinuiju, kata Seoul dalam edisi 2012 dokumen itu.
"Korea Utara dipercayai memiliki simpanan besar VX, yang boleh
dihasilkan dengan kos rendah," kata penganalisis pertahanan, Lee Il-Woo,
di Rangkaian Pertahanan Korea persendirian.
Dibangunkan 100 tahun lalu, VX boleh dihasilkan di makmal kecil atau kemudahan yang mengeluarkan racun serangga, katanya.
"Senjata kimia dan biologi boleh dipindahkan menerusi pelbagai cara
termasuk artileri, peluru berpandu dan kapal terbang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan