HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 Februari 2017

Presiden FAS: Pelantikan Subahan Kamal langgar saranan Raja Muda Selangor?

Berita Daily Staff

Subahan didakwa tidak layak memimpin persatuan itu, FAS perlu dirombak semula

KUALA LUMPUR: Pelantikan Subahan Kamal sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang baharu langgar saranan Penaung Diraja Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa ahli politik tidak boleh mengetuai persatuan itu.

Menurut Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor Thiban Subramaniam bola sepak negeri itu memerlukan pemimpin yang berintergriti dan berkomited, bukannya presiden yang mempunyai tugas yang lain dalam satu masa.

“Perlantikan Subahan Kamal juga melanggar saranan Tuanku Sultan sebagai Penaung Diraja FAS bersama DYTM Raja Muda Selangor yang menyarankan bahawa kriteria untuk calon Presiden adalah individu ini tidak boleh terlibat secara langsung dalam politik.

“AMK Selangor ingin mempersoalkan mengapa seseorang yang ada latar belakang politik diangkat sebegitu untuk menjadi Presiden FAS tanpa menghormati saranan Tuanku Sultan? Adakah perlantikan beliau berdasarkan saranan Tuanku? Apakah tindakan FAS yang tidak menghormati saranan Tuanku wajar?.

“Sebagai penyokong Selangor kami berpendapat bahawa Subahan merupakan individu yang tidak layak untuk menjadi presiden FAS. Subahan kini merupakan presiden bagi Konfederasi Hoki Malaysia (HMC) dan beliau pula diangkat untuk menguruskan FAS menjadi tanda tanya mengenai fokus beliau dalam membangunkan bola sepak selangor,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Dilaporkan kesemua calon kepemimpinan baharu FAS menang tanpa bertanding pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang berlangsung hari ini.

Pada EGM itu juga, Subahan yang sebelum ini Naib Presiden persatuan itu diangkat sebagai Presiden, manakala Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MRT Corp, Shahril Mokhtar menjadi timbalan presiden.

Subahan merupakan ahli politik dari parti Barisan Nasional, sebelum ini pernah memenangi kerusi Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kongres kali ke-47 yang diadakan di Hotel Glenmarie pada 31 Julai 2010.

Sebagai wakil semua penyokong bola sepak di negeri itu, Thiban yang kecewa dengan keputusan EGM berpendirian bahawa Subahan tidak mempunyai kelayakan untuk memimpin FAS, sehubungan itu Raja Muda Selangor dimohon merombak semula persatuan itu.

“Angkatan Muda Keadilan Selangor menyarankan bahawa FAS perlu dirombak dengan segera dan menyokong penuh DYTM Raja Muda Selangor menjadi Presiden FAS demi menyelamatkan dan mengembalikan kegemilangan bola sepak Selangor.

“Justeru itu, kami memohon Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah membuat rombakan FAS dengan segera,” katanya lagi.

Tiada ulasan: