IPOH: Pengarah sebuah jabatan kerajaan di negeri ini dan tiga individu
lain direman lima hari bagi membantu siasatan kes menerima suapan
bulanan antara RM1,000 hingga RM10,000 daripada pengusaha rumah urut dan
pusat hiburan.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Siti Hanum Mohamad Sah bagi
membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda
RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika
sabit kesalahan.
Pengarah berusia 57 tahun itu serta tiga yang lain iaitu dua ahli
perniagaan masing-masing berusia 30 tahun dan seorang mekanik berusia 26
tahun ditahan sepasukan pegawai penguat kuasa SPRM di beberapa lokasi
di bandar raya ini antara jam 12.30 tengah malam tadi hingga jam 5.30
pagi tadi.
Difahamkan pengarah dan tiga individu berkenaan berkenaan menerima
bayaran bulanan antara RM1,000 hingga RM10,000 daripada pengusaha pusat
hiburan dan rumah urut yang beroperasi di Perak.
Pengarah SPRM Perak, Datuk Nooraziah Abd Manaf, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan tetapi enggan mengulas lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan