Ia akan menggalakkan penipuan dan pada akhirnya merosakkan institusi perkahwinan dengan penceraian
EKSKLUSIF: Perkahwinan tidak akan mengubah golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) untuk menjadi diri yang sebenar berdasarkan jantina semenjak dilahirkan, kata aktivis transgender, Nisha Ayub.
Beliau berkata demikian sebagai membidas video yang diterbitkan oleh Jabatan Agama Islam (Jakim) dalam memberi pendedahan tentang panduan mengubah orientasi seks individu LGBT yang ‘songsang’menerusi perkahwinan.
Sebaliknya menurutnya ia hanya akan mengundang kemudaratan khususnya wanita yang terpaksa dijadikan sebagai mangsa kerana berkahwin dengan lelaki khususnya yang sebenarnya tidak tertarik kepada jantina yang berlawanan dengannya.
“Kenapa kita nak jadikan wanita sebagai mangsa? Nak tukar lelaki yang transeksual itu gunakan wanita.
“Ada beberapa kes berlaku keluarga memaksa anak mereka yang dalam kumpulan LGBT ini berkahwin, memang mereka berkahwin dan ada anak tetapi dalam hubungan tersebut lelaki itu pada akhirnya tidak dapat meneruskan hubungan dan bercerai ada juga yang menipu isteri siapa jadi mangsa? Wanita jadi mangsa. Jadi, jalan penyelesaiannya bukan dengan hanya berkahwin, tidak,” katanya kepada Berita Daily.
Tambahnya, perkahwinan hanya akan menggalakkan penipuan dalam perkahwinan yang dilaksanakan hanya demi menutup pandangan negatif masyarakat namun pada masa akan datang memberi kesan buruk kepada insitusi itu sendiri.
“Bagi Nisha, adakah dengan cara berkahwin itu dia mengubah untuk diri sendiri secara jujur atau berkahwin semata-mata untuk menutup pandangan masyarakat?,” katanya lagi.
Jakim menerusi video berdurasi 3:08 minit itu menyifatkan golongan LGBT ini sebagai ‘kuda liar’ yang perlu dikawal dan dilatih menerusi bimbingan yang memerlukan masa.
Jabatan Islam itu juga menetapkan langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengubah golongan termasuklah memenuhi kehendak seksual menerusi cara perkahwinan.
Nisha dalam masa sama menangkis dakwaan yang mengaitkan LGBT dengan kegagalan mengawal nafsu terhadap jantina yang sama sebaliknya ia tertumpu kepada aspek dalaman seseorang yang berada dalam golongan tersebut.
“Seksualiti dan gender itu adalah sesuatu yang dilahirkan bukan sesuatu yang dibuat-buat, bukan juga ikut nafsu sahaja.
“Jalan penyelesaiananya adalah untuk memahami terlebih dahulu dahn bila ada persepsi LGBT ini amalkan seks luar tabii, orang luar memang tidak akan dapat mendekati golongan ini dengan hati yang terbuka sebab sudah ada persepsi,” jelas beliau
Tiada ulasan:
Catat Ulasan