HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Februari 2017

Jong Nam mati 15-20 minit selepas terdedah agen saraf VX


 
Dr Subramaniam berkata, fosfat organik yang digunakan untuk membunuh Jong Nam lebih toksik daripada bahan kimia digunakan dalam racun serangga.


subramaniam-jong-nam-vx-3


KUALA LUMPUR: Kim Jong Nam meninggal dunia dalam masa 15 hingga 20 minit selepas terdedah kepada agen saraf VX pada 13 Februari lalu, kata menteri kesihatan.

Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, laporan bedah siasat turut mengesahkan keputusan Jabatan Kimia berhubung penemuan racun fosfat organik atau agen saraf VX pada mayat Jong Nam.

“Apabila keputusan diperolehi, ia mengesahkan syak wasangka kami,” katanya pada sidang media di Institut Pengurusan Kesihatan hari ini.

Beliau berkata, fosfat organik lebih toksik daripada bahan kimia dalam racun serangga dan lebih 10mg agen saraf VX digunakan untuk membunuh Jong Nam.

“Sistem tubuh badan manusia sepatutnya merembeskan enzim transmiter neurokimia yang berperanan mengawal pergerakan otot di seluruh badan menerusi sel darah merah.

“Bagaimanapun, agen saraf VX yang disembur pada mangsa dalam kuantiti amat tinggi (lebih 10mg) sehingga badannya berhenti merembeskan enzim berkenaan sebagai langkah pencegahan semula jadi.

“Rantaian kesan kimia itu akhirnya menyebabkan seluruh badan beliau, termasuk jantung dan organ penting mengalami kekejangan sebelum henti berfungsi.”

Beliau berkata, laporan bedah siasat itu dan maklumat baru akan diserahkan kepada polis selewat-lewatnya minggu depan.

Jumaat lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata, laporan awal analisis Jabatan Kimia mendapati bahan kimia Ethyl S-2 Diisopropylamino Ethyl Methylphosphonothioate atau agen saraf VX terdapat di luaran mata dan muka Jong Nam.

Katanya, bahan kimia itu dilarang bawa masuk ke Malaysia kerana ia adalah bahan kimia yang dikategorikan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sebagai senjata pemusnah besar-besaran.

Menurut pakar, agen saraf VX antara senjata kimia paling berbahaya pernah dicipta manusia. Hanya 10mg atau setitik sahaja boleh membunuh seseorang dalam masa beberapa minit.

Abang sebapa kepada diktator Korea Utara, Kim Jong Un itu tiba di Malaysia pada 6 Februari lalu dan sepatutnya menaiki penerbangan ke Macau, pada jam 10.30 pagi 13 Februari lalu.

Bagaimanapun, tiba-tiba beliau didatangi 2 wanita yang menyapu mukanya dengan cecair beracun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Jong Nam yang menggunakan pasport dengan nama Kim Chol, mendapatkan bantuan di kaunter khidmat pelanggan klia2 dan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.



Tiada ulasan: