U-turn sebegini oleh Dr Mahathir amat menghairankan. …sama ada Dr Mahathir berbohong atau tidak lagi mampu membezakan antara fakta dan rekaan
KUALA LUMPUR: Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad, Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, hari ini membidas Dr Mahathir Mohamad yang dikatakannya membuat “U-turn” (pusingan U) aneh dalam persepsi bekas perdana menteri itu terhadap pelbagai perkara.
“U-turn sebegini oleh Dr Mahathir amat menghairankan. …sama ada Dr Mahathir berbohong atau tidak lagi mampu membezakan antara fakta dan rekaan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Tengku Sariffuddin berkata realitinya rakyat Malaysia tidak lagi boleh mempercayai apa-apa sahaja kata-kata U-turn Dr Mahathir.
Beliau berkata Dr Mahathir suatu ketika dahulu digelar Harimau Asia, dan untuk mengekalkan kuasa, beliau mencantas musuh-musuh politiknya.
“Dia memasukkan timbalan perdana menterinya Anwar Ibrahim – ke dalam penjara kerana katanya negara tidak boleh ada perdana menteri yang homoseksual. Dan dia mengatakan Lim Kit Siang (DAP) adalah ancaman kepada Melayu dan dia (Lim) juga dipenjarakan.
“Tetapi kini beliau suka sangat Kit Siang sehingga sanggup menerima pemimpin de facto pembangkang itu sebagai Timbalan Perdana Menteri agar anaknya Mukhriz boleh menjadi Perdana Menteri,” katanya.
Tengku Sariffuddin berkata: “Dulu dia (Dr Mahathir) berkata Kit Siang ancaman kepada Melayu tetapi kini tidak pula. Dulu dia katakan liwat adalah satu jenayah, kini diterima pula. Adakah harimau ini yang sudah lanjut usianya semakin keliru?”
Kata-kata Dr Mahathir amat memalukan, katanya, dan mencadangkan agar ” harimau tua itu lebih baik bersara sepenuhnya demi kebaikan negara dan dirinya sendiri.”
Tengku Sariffuddin turut menarik perhatian kepada titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar baru-baru ini, yang mempersoalkan kenyataan Dr Mahathir.
Beliau berkata pengamatan oleh Sultan Johor itu jelas dalam tulisan blog terkini Dr Mahathir yang menulis Malaysia adalah satu daripada 10 negara paling korup di dunia.
“Hakikatnya, dalam senarai Transparency International yang terkini, Malaysia ialah negara ke-55 paling tidak korup di dunia.
“Jelas sama ada Dr Mahathir berbohong ataupun dia tidak lagi mampu membezakan antara fakta dan rekaan. Jika bukan begitu, mengapa dia kata Malaysia adalah antara 10 negara yang paling korup sedangkan Malaysia tersenarai antara satu pertiga daripada negara paling tidak korup di dunia?” katanya.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan