Oleh Abdul Rahman Malik
 Post Pic

[ULASAN] Pakatan Harapan diramalkan mampu mempertahankan pemerintahannya di Selangor jika pilihanraya umum ke-14 diadakan dalam tempoh enam bulan akan datang, kata Institut Darul Ehsan (IDE).

Menurut Timbalan Pengerusinya, Profesor Datuk Dr Mohamad Redzuan, ramalan itu dibuat bersandarkan kajian persepsi pengundi di Selangor yang “berpuas hati” dengan prestasi kerajaan negeri pimpinan PKR.

Ini bermakna meskipun tanpa bantuan PAS, Pakatan Harapan (PH) pasti berkerajaan semula di Selangor selepas PRU 14 dijangka berlangsung kurang 2 tahun dari sekarang.

Ini bermakna, PAS tidak perlu ‘terlalu yakin’ bahawa tanpa penyertaannya dalam kempen PRU 14 parti-parti pembangkang, harapan gabungan itu akan tergugat di Selangor. Malah tidak sukar mengunjurkan bahawa keadaan sama mungkin berlaku di peringkat nasional.

Lantas pembentangan kajian IDE ini secara langsung atau tidak adalah isyarat supaya PAS jangan terlalu bersikap “hidung tak mancung tapi pipi yang tersorong-sorong” dalam menilai kedudukan strategiknya dalam kalangan parti-parti pembangkang.

Paling insaf dan selesa dengan kajian IDE ini pastilah Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengikut naluri politiknya memang tidak mahu “mencium kaki pemimpin-pemimpin” PAS agar dapat dipujuk bersama dengan parti-parti pembangkang.



Kajian IDE memang satu suntikan tonik politik yang berkesan. Sekaligus ia boleh “merendahkan sedikit tahap keyakinan diri PAS” tentang nilai dan dividen politik yang boleh disumbangkannya pada usaha menumbangkan kerajaan Umno-BN.


Mungkin bagi Mahathir dan sekutu-kutunya DAP, Amanah serta PKR, hasil kajian itu akan meruntun PAS ke tahap keinsafan politik yang realistik.

Bahawasanya ia tidaklah sekukuh mana hingga patut digeruni oleh kawan dan lawan.

Retorik PAS yang mengambil sikap sambil lewa terhadap keterujaan pembangkang termasuk DAP dan Amanah (yang dianggap seteru politik utamanya) seharusnya akan berubah selepas ini. Kajian IDE mungkin menyelinapkan rasa gerun dan ngeri dalam jiwa PAS.

Mungkin itulah sebabnya kajian itu harus diumumkan sehari sebelum PAS menggerakkan Himpunan Ungu menyokong RUU 355 di Padang Merbok Sabtu lalu. Ini mungkin boleh dibaca bahawa ia bertujuan “menakut-nakutkan” pemimpin PAS sahaja.

Ini kerana umum tahu IDE bukanlah sebuah institusi kajian bebas. Secara langsung atau tidak ia ditaja oleh PKR yang menerajui Selangor. Soal kewibawaan IDE belum terbukti. Ia mungkin didorong oleh kepentingan politik PKR semata.

Bagaimanapun selepas kempen Lautan Ungu itu tamat tengah malam Ahad lalu, senario yang cuba digambarkan untuk menakutkan PAS mungkin berubah. Lautan Ungu berjaya mendapat sokongan yang agak besar.
Yang terasa ngeri mungkin presiden Amanah, Mohamad Sabu yang pasti mampu membandingkan natijah Lautan Ungu dengan kempen Bersih 1 yang dipimpinnya sebelum PRU 12 lalu.


Terbukti PAS masih mempunyai jentera menggerakkan massa yang efektif walaupun Mat Sabu sudah tidak lagi bersama PAS.

Pun begitu keyakinan diri dan arahtuju perjuangan tidak pernah luput dari benak pimpinan PAS. Setelah difasakh DAP daripada Pakatan Rakyat dan ditalak oleh sekumpulan pemimpin profesionalnya yang keluar dan menubuhkan Amanah, PAS masih gah.


Himpunan Ungu 18 Februari benar-benar tersulam rapi dengan pemikiran dan amalan politik “Matang dan Sejahtera” PAS. Lantaran risik dan strategi menyerang dan memperlekehkan kemampuan PAS memang sudah dijangka.


Pemimpin-pemimpin dari segenap lapisan parti sudah dapat mengunjur dan meneka strategi “pulas tangan” yang bakal digunakan untuk meroboh tembok keyakinan dan pemikiran beningnya.


Kali ini PAS cukup bersedia. Manipulasi pembangkang terhadap PAS dapat dihidu.     


“Orang bertanya mana bahaya antara Umno dan DAP. Saya berkata, bahaya Umno bahaya dirasai. Bahaya DAP bahaya menanti.  Jadi hapuskan bahaya dirasai, hilangkan bahaya menanti. Begitulah ubat diciptakan dalam kehidupan menuju kesihatan dan kesejahteraan.


“Rosak negara adalah kerana Umno membangunkan negara dengan tiang-tiang sekular sejak lama. DAP datang dengan tiang-tiang baharu dengan tahap sekular yang berganda sepuluh yang jelas akan menambahkan kehancuran negara dalam kealpaan rakyatnya nanti.


“Malah PAN (Parti Amanah Negara) adalah contoh awal kealpaan yang nyata,” kata Ketua Pemuda PAS, Mohamad Abduh Nik Aziz dalam satu kenyataan minggu lalu.

Sementara pemimpin PAS yang lain seperti Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man serta pemimpin Dewan Ulama lain, jelas bertahkim dengan keputusan PAS tidak akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang bertahaluf dengan DAP dan Amanah yang dianggap musuh parti.

Oleh kerana baik PPBM mahupun PKR masih mahu terus menjalin kerjasama dengan kedua-dua musuhnya, maka seharusnya kedua-dua parti itu insaf bahawa PAS tidak akan melanggar batas strategi politiknya.

Mohamad Abduh memberitahu PAS pasti menolak sebarang kerjasama dengan PPBM selepas kenyataan Tun Mahathir untuk mengetepikan parti itu bagi meneruskan kerjasama dengan DAP.

“Kekuatan PAS untuk bergerak sendiri memimpin Blok Ketiga adalah nyata. Kerana itu, DAP, PAN, PKR dan PPBM terus menerus menembak PAS dengan senjata beratnya bahawa parti ini adalah rakan Umno.
“Tujuannya adalah untuk menidakkan PAS sebagai satu kekuatan dan pilihan terbaik bagi menggantikan BN mahupun PH yang diketuai DAP,” katanya.

PAS sudahpun membuktikan kecekapan dan pengaruhnya untuk menggerakkan massa dalam menyokong cita-cita politiknya. Ia juga kini akan mengkaji semula tahaluf siyasinya dengan PKR dalam kerajaan Selangor.

Maka dengan yakin PAS memberitahu bahawa selewat-lewatnya menjelang Muktamarnya April depan, ia akan menentukan tahaluf siyasi dengan PKR akan diteruskan atau tidak.

Kini tiba masanya PAS membuktikan kemenangan besar PKR dan DAP pada PRU 2008 dan 2013 sebenarnya adalah kerana sumbangan sokongan langsung PAS dan bukan sebaliknya.

  
Kajian IDE merumuskan sama ada dibantu PAS atau tidak, PH dan PPBM pasti mampu menawan semula Selangor. Namun imej Lautan Ungu adalah begitu bergemerlapan dan menyilaukan impian pakatan itu.


Tambahan pula Umno juga kini juga bertindak menurut maqasid syariah yang agak jelas. Ini meletakkan PAS dalam keadaan lebih selesa menyandarkan perjuangan menurut tatakrama politik matang dan mengutamakan kesejahteraan untuk semua.