HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Februari 2017

Masa depan kerjasama PAS-PPBM semakin malap, kata Zuhdi

Oleh Nur Atiqah Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Kerjasama antara PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) nampaknya semakin malap, berikutan parti itu mengadakan perbincangan hari ini bersama Pakatan Harapan (PH) bersabit isu agihan kerusi untuk pilihan raya umum akan datang.
 
Demikian menurut Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Zuhdi Marzuki mengulas mengenai perkembangan terbaru itu yang selari dengan pendirian PAS sebelum ini bahawa tidak akan menjalin sebarang kerjasama dengan parti yang ada hubungan bersama DAP dan Amanah.
 
"Saya melihat pintu untuk kerjasama PAS dan PPBM semakin mula tertutup," katanya kepada Antarapos melalui sistem aplikasi WhatsApp. 
 
Hari ini PH dan PPBM mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu agihan kerusi untuk PRU14.
 
Difahamkan perbincangan itu tidak melibatkan PAS, sekaligus menguatkan spekulasi bahawa pertandingan tiga atau lebih penjuru akan berlaku. 
 
Untuk rekod, PH dan PPBM menandatangani perjanjian kerjasama politik pada 13 Disember lepas, yang bertujuan meletakkan satu calon mewakili gandingan itu pada pilihan raya akan datang.
 
Pada awal Februari lalu, PPBM mengadakan pertemuan dengan PAS bagi membincangkan rundingan ke arah menghadapi pilihan raya, namun sehingga kini tiada kata putus bersabit perkara tersebut.
 
Malah Zuhdi tidak menolak kemungkinan hubungan parti itu bersama PKR juga akan berakhir.
 
"Demikian juga hubungan PAS dan PKR, saya melihatnya semakin mula terlerai," ujar beliau.
 
Di Selangor walaupun PAS sudah memutuskan kerjasama dengan DAP, namun hubungan bersama PKR masih lagi terjalin disebabkan adanya 'ikatan' dalam pentadbiran kerajaan negeri.
 
Walaupun PAS berulang kali didesak untuk berundur daripada jawatan Exco yang disandang mereka, tetapi parti itu bertegas akan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat pada PRU13 lalu.
 
 

Tiada ulasan: