HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Februari 2017

Parlimen hilang kuasa apabila dikawal JPM, kata bekas ahli Parlimen

Shawaliah Hadir

Ahli Parlimen parti pembangkang tidak diberi akses dan kelebihan untuk menjalankan inisiatif sendiri.

SHAH ALAM: Parlimen kini tidak lagi bebas dan mempunyai kuasanya apabila diletakkan di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri (JPM), kata Seketariat Pakatan Harapan Saifuddin Abdullah.

Bekas ahli Parlimen Temerloh itu berkata, situasi tersebut menyekat Parlimen sebagai institusi yang bertanggungjawab dalam mengamalkan demokrasi di dalam negara.

“Dari satu segi kita ada isu-isu demokratik yang belum disebut iaitu kerosakan yang lain dalam institusi.

“Institusi yang sepatutnya menjaga demokrasi adalah institusi Parlimen namun ia sendiri ia duduk di bawah JPM itu sepatutnya tidak berlaku kerana ia sepatutnya bebas, tidak duduk di mana bawah mana-mana jabatan atau pentadbiran,” katanya dalam forum “Wujudkah demokrasi sebenar di Malaysia?” di Universiti Selangor (Unisel) hari ini.

Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad turut menyalahkan Barisan Nasional (BN) ekoran kegagalan pembangkang untuk mengemukakan Kabinet Bayangan mereka.

Nik Nazmi berkata, parti pembangkang di United Kingdom (UK) diberikan peluang menerusi keterbukaan pelbagai akses termasuk peruntukan khusus untuk mengemukakan kabinet bayangan mereka.

Menurutnya, ahli Parlimen di kalangan parti pembangkang menerima sumber kewangan yang terhad untuk mereka melakukan pelbagai inisiatif bukan hanya terhadap rakyat bahkan untuk menunjukkan kelayakan mereka bagi menubuhkan sebuah kerajaan yang lebih layak.

“Kenapa kita tidak ada shadow kabinet (kabinet bayangan) itu yang selalu ditanya, antara sebabnya di UK ada shadow kabinet (kabinet bayangan) kerana pihak kerajaan memberi short money (sumber wang) dengan wang itu untuk membantu mereka sedangkan di Parlimen Malaysia, ahli parlimen (pembangkang) hanya dapat gaji.

“Wang untuk pihak yang bertanggungjawab membuat kajian tidak ada. Jadi gaji itu kemudian terserah kepada inisiatif masing-masing,” tambahnya.

Tiada ulasan: