Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail memberitahu perbincangan mengenai agihan kerusi bertanding antara Pakatan Harapan dan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) berjalan secara baik.
Beliau yang mewakili partinya dalam jawatankuasa perundingan berkenaan berkata, soal pembahagian kerusi pada pilihan raya yang semakin suntuk itu akan dapat diselesaikan pada kadar segera.
"Saya mewakili PKR dalam jawatankuasa perundingan kerusi, Datuk Seri Mukhriz mewakili Bersatu, Salahuddin mewakili Amanah dan Anthony Loke mewakili DAP.
"Kami menghadapi suasana (rundingan) yang cukup mesra dalam melihat 222 kerusi parlimen ini kita nak agih pada parti mana. Insya-Allah, sebelum pilihan raya, kita dapat selesaikan agihan kerusi dengan baik," ujarnya pada ceramah perdana anjuran Amanah Parlimen Pokok Sena semalam.
Tanpa menyebut tentang Pas, Saifuddin yakin kerjasama dalam Pakatan Harapan dan Bersatu akan memperoleh kemenangan pada PRU-14.
"Saya punya keyakinan yang kuat menjelang pilihan raya umum akan datang dengan izin Allah, dulang kemenangan akan jadi milik kita," ujarnya.
Beliau yang dilantik sebagai Penasihat Strategik Ketua Menteri Pulau Pinang pada 4 Januari lalu juga berkongsi tentang rutin mingguannya dalam program yang turut dihadiri Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir itu.
"Saya tadi (semalam) memandu dari pejabat di Komtar Pulau Pinang. Khamis dan Jumaat saya bertugas dengan kerajaan negeri Pulau Pinang. Isnin, Selasa, Rabu saya di ibu pejabat PKR. Hari Sabtu, Ahad saya memenuhi undangan (program) di seluruh negara.
"Begitulah jadual kami, di celah-celah itu kami harus selesaikan tugas penting parti. Sebelum saya masuk pun tata kelola kerajaan negeri Pulau Pinang cukup baik. Program untuk rakyat setiap tahun RM200 juta diagih pada rakyat dari penarik beca, ibu tunggal, suri rumah, para huffaz pun kerajaan negeri bagi sumbangan," jelasnya.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, rakyat akan memperoleh banyak faedah jika memberi mandat kepada parti pembangkang yang terbukti melaksanakan urus tadbir lebih baik seperti dinikmati di Pulau Pinang dan Selangor.
"Kadar jenayah indeks di Pulau Pinang, kes denggi berkurang. Sedikit hari lagi, Pulau Pinang bebas malaria.
Semua rekod yang 'real' ini wujud apabila rakyat bagi mandat kepda kerajaan yang bukan Umno-BN, ternyata kita boleh buat lebih baik.
"Di Selangor, simpanan kerajaan negeri terus meningkat. Prestasi kerajaan tempatan meningkat sangat baik. Air percuma kurang 20 liter padu iaitu bersamaan RM 11.80. Di Pulau Pinang pasangan yang berkahwin, lahir anak terus duit masuk akaun," tambahnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan