HALAMAN SANTAI

Khamis, 23 Februari 2017

Ada beza hubungan baik dengan rundingan sulit, jelas Wan Rahim

MALAYSIA DATELINE

Wan Abdul Rahim diiringi pemimpin Amanah Kelantan membuat laporan polis berkaitan fitnah rundingan sulit Amanah-Umno.Wan Abdul Rahim diiringi pemimpin Amanah Kelantan membuat laporan polis berkaitan fitnah rundingan sulit Amanah-Umno.

Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah mengakui mempunyai hubungan baik dengan ramai pemimpin Umno namun menafikan sebarang rundingan sulit dengan parti itu untuk menjatuhkan Pas di Kelantan.

"Memang saya akui saya ramai kawan orang Umno tetapi persahabatan itu sejak sekian lama sebahagiannya sejak zaman persekolahan lagi.

"Ini sama sekali tidak boleh dikaitkan kononnya saya sebagai pemimpin Amanah ada rundingan sulit dengan Umno," katanya kepada pemberita selepas mengemukakan laporan polis di balai polis Kota Bharu, Jalan Sultan Ibrahim pagi ini.

Dalam laporannya, Wan Abdul Rahim menamakan sebuah laman blog yang menyebarkan berita fitnah terhadap beliau dan parti Amanah.

"Artikel fitnah tersebut berasal dari blog "tranungkite.net" dengan tajuk "Hari-hari ratib Pas dan UG dengan Umno akhirnya terbongkar rupanya Amanah-Umno Kelantan buat pakatan sulit. Nak letak mana muka?".

"Artikel ini memfitnah saya terlibat berunding dengan Umno untuk menumbangkan kerajaan Pas Kelantan dalam pilihan raya nanti.
"Keseluruhan kandungan artikel tersebut saya nafikan sebagai tidak benar dan keseluruhannya merupakan fitnah yang direka-reka terhadap saya dan parti Amanah.
"Artikel ini saya tegaskan mempunyai niat jahat untuk mencemarkan imej saya dan parti Amanah.

Menurutnya, artikel berkenaan kemudiannya disebar oleh pemilik facebook Amirul Mohd dan Wan Khimi melalui akaun masing-masing.

"Saya percaya melalui sebaran ini telah menyebabkan artikel fitnah tersebut semakin tersebar," katanya.

Beliau memohon agar pihak polis menyiasat perkara ini mengikut Seksyen 499 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan juga Akta Fitnah 1957.

Tiada ulasan: