HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Februari 2017

Penerokaan hutan simpan Janda Baik serius – Shahidan

Manzaidi Mohd Amin
Shahidan meredah laluan hutan simpan Janda Baik untuk meninjau kegiatan penerokaan haram

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kementeriannya memandang serius penerokaan hutan secara haram di kawasan Hutan Simpan Janda Baik dan sepanjang laluan ke Genting Highland, Pahang.

Katanya, kerajaan perlu bertindak ke atas penerokaan haram itu bagi menyelamatkan kawasan hutan simpan yang menyimpan banyak khazanah negara.

Beliau turut mendedahkan, pihak yang meneroka kawasan itu untuk tujuan perladangan adalah kebanyakannya warga asing.

“Penerokaan hutan makin serius. Kerja mudah. Tauke ambil pekerja asing dan teroka. Tauke warga asing juga teroka tanah.

“Tauke hanya keluar modal secara contract farming. Perlumbaan cepat kaya antara mereka menyebabkan tanah kita akan hancur,” katanya dalam status yang dimuatnaik meneusi akaun facebook beliau semalam.

Shahidan bersama rombongan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM) melakukan tinjauan di kawasan hutan Simpan Janda Baik dan mendapati sebahagian besar kawasan itu diteroka warga asing secara haram.

Menurutnya, beliau telah menghantar 50 anggota APAM untuk membantu pegawai Jabatan Perhutanan membuat tinjauan di kawasan berkenaan.
Penempatan sementara yang dibina pekerja asing
Penempatan sementara yang dibina pekerja asing
Terdapat beberapa penempatan sementara yang dibina pendatang asing di kawasan terokaan berkenaan.

Beliau memberi amaran kepada peneroka haram itu bahawa kerajaan akan sentiasa melakukan pemantauan dan bertindak tegas jika kegiatan mereka dapat dikesan. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: