HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Februari 2017

'Kalau diurus dengan baik, Kelantan memang kaya'

 ARIF ATAN

Tengku Mahaleel berdialog dengan penduduk Kota Bharu Tengku Mahaleel berdialog dengan penduduk Kota Bharu

Bekas peneraju Proton Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff  yakin pengurusan ekonomi yang baik sehingga dapat menyediakan peluang pekerjaan di Kelantan mampu menangani penghijrahan ramai golongan muda negeri itu.

Bekas Ketua Pegawai Operasi Proton Holdings itu memberitahu terdapat kira-kira 300,000 anak Kelantan pada masa ini yang terpaksa meninggalkan negeri tersebut bagi mengelak daripada menjadi penganggur.

"Adakah saudara-saudari tahu 300,000 orang Kelantan lari dah. Bermakna orang muda lari pasal di sini (Kelantan) tiada kerja. Apa akibatnya? Orang tua, ibu bapa tinggal (di kampung). Siapa nak jaga (mereka)?

"Saya nak cerita bukan politik, cerita cara orang Kelantan. Orang Kelantan ini bijak. Kalau kita tengok banyak orang Kelantan di pelbagai kementerian. Kalau orang Kelantan di KL itu, semua tinggi-tinggi (jawatan). Saya dulu di Proton, Nestle.

"Kenapa budak-budak kita keluar negeri meninggalkan Kelantan? Puncanya Kelantan ini kalau betul-betul diurus dengan baik memang kaya. Kita ada air minum, padi, getah, emas, macam-macam, ada budaya," ujarnya dalam dialog ketika program sarapan di Kota Bharu anjuran Amanah Kelantan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menekankan pentingnya pendidikan kemahiran diberi perhatian serius memandangkan bidang tersebut semakin diperlukan pada masa akan datang.

Mahaleel, 71, yang disahkan tidak mempertahankan jawatan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam pemilihan pada April ini berkata, hasrat tersebut boleh dicapai dengan pembinaan sekolah vokasional hasil sumbangan anak Kelantan yang bekerja di perantauan.

"Kita boleh cari duit 'free'. Kita ada 300,000 orang Kelantan (bekerja di luar negeri terutama di Kuala Lumpur). Kalau mereka semua dipaksa hantar RM100, letak dalam satu tabung. (Boleh dapat) RM30 juta sebulan.

"Setahun sudah RM360 juta. Boleh buat apa? 300,000 itu ada banyak kemahiran. Kita panggil 30,000 buat sekolah vokasional," sarannya di kedai kopi Seli Pokjen, Jalan Kubang Tuman, Tanjung Chat dekat Kota Bharu.

Beliau menyifatkan bidang kemahiran seperti membaiki penghawa dingin dan motorsikal berpotensi memberi pendapatan yang lumayan kepada golongan muda khususnya di Kelantan.

"Dunia masa depan mahu orang begini (menguasai kemahiran). Sekarang ini 200,000 graduan tiada kerja. (Angka ini) akan naik lagi sebab ekonomi kita telah menurun.

"(Pertumbuhan) ekonomi kita tahun 1997 dulu meningkat 9 peratus setahun tetapi tahun lepas 4.2 peratus. (Jatuh) lebih daripada setengah.

"Tol, (tarif) elektrik sudah naik. Hutang (negara) kita sekarang ini berapa? RM860 bilion, tak kira hutang Khazanah, duit yang diseludup lebih dari RM1 trilion," tegasnya dalam program yang turut dihadiri Penasihat Amanah Kelantan, Datuk Husam Musa.

Mahaleel yang mengaku pernah sama bersekolah dengan Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah di Sultan Ismail College (kini Maktab Sultan Ismail) berkata, rakyat di Kelantan sebenarnya boleh melakukan pelbagai perkara untuk memajukan ekonomi dengan wang sebanyak itu.

"Kalau kira bunga katakan dua peratus daripada RM1 trilion, RM20 bilion kalau beri pada orang Kelantan kita boleh buat macam-macam. Membazir salah siapa? Saya bukan pro Husam, pro Najib atau pro Mahathir. Siapa salah? Rakyat salah sebab salah pilih, pasal mu tak baca," tambahnya lagi.

Tiada ulasan: