HALAMAN SANTAI

Jumaat, 24 Februari 2017

Pembunuhan Jong-nam, nasib Malaysia tidak baik

 Shawaliah Hadir

PDRM hanya membuat siasatan mengikut SOP yang ditetapkan tanpa memihak atau menuduh kepada mana-mana pihak

KUALA LUMPUR: Malaysia disifatkan tidak bernasib baik kerana menjadi lokasi berlakunya pembunuhan Kim Jong-nam yang merupakan abang tiri kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.

Menurut Felo Kanan Dasar Luar, Pengajian Keselamatan bagi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Bunn Nagara, akibatnya negara kini terpaksa menerima tuduhan bersekongkol dengan Korea Selatan.

“Kita tiada pilihan kerana ia berlaku di dalam negara ini , kita hanya buat siasatan mengikut SOP, kita (Malaysia) tidak berminat dengan politik di Korea Utara atau Korea Selatan.

“Nasib kurang baik kepada kita kerana kejadian ini terjadi di sini,” katanya kepada Berita Daily.

Beliau berkata demikian bagi mengulas lanjut mengenai ketegangan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara yang tercetus susulan kes pembunuhan Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2), 13 Feb lepas.

Jong Nam, yang menggunakan nama Kim Chol, dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
Ekoran itu Duta Korea Utara Kang Chol mendakwa Malaysia “cuba menyembunyikan sesuatu” dalam insiden pembunuhan ini dalam masa sama cuba menuduh Malaysia bersengkongkol dengan Korea Selatan.

Wisma Putra yang menafikannya memanggil Kang Chol untuk menghadap dan kemudian beliau pula mendakwa Pyongyang mempunyai keraguan terhadap siasatan Malaysia.

Mengulas lanjut Bunn menambah, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) hanya menjalankan siasatan mengikut prosuder operasi standard (SOP) yang ditetapkan tanpa memihak mahupun menyalahkan mana-mana pihak.
“Malaysia tidak sokong sesiapa pun. Siasatan polis di negara kita tidak menuduh sesiapa pun, tidak kepada mana-mana pihak kita hanya mahu buat siasatan dengan cara profesional,” jelas beliau.

Tambahnya bukan sahaja di Malaysia, pihak berkuasa di negara lain juga akan melakukan siasatan mengikut SOP masing-masing jika berlaku insiden yang sama.

“Kalau jadi di mana-mana negara pun (di negara lain) polis mesti buat siasatan juga,” ujar Bunn Nagara.

Pada 13 Feb lepas, Jong-nam berada di Klia2 untuk penerbangan ke Macau apabila dua wanita didakwa menyapu muka mangsa dengan tangan mereka yang dipercayai telah disembur bahan beracun.

Susulan kes pembunuhan Jong-nam itu, polis Malaysia menahan empat suspek- seorang wanita
menggunakan pasport Vietnam, seorang wanita warga Indonesia, seorang lelaki rakyat Malaysia dan seorang lelaki warga Korea Utara.

Lelaki warga Malaysia itu dibebaskan dengan jaminan polis.

Tiada ulasan: