HALAMAN SANTAI

Khamis, 23 Februari 2017

Saya sendiri tak dapat dedak, Mahfodz sindir Maszlee

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
SHAH ALAM: Tuduhan pemimpin PAS semakin mewah sebagaimana dinyatakan Dr Maszlee Malik dibidas oleh pemimpin parti berkenaan dengan mendakwa penganalisis politik itu percaya dengan fitnah dedak.
 
Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mahfodz Mohamad yang dihubungi Antarapos menegaskan jika benar parti tersebut mendapat dedak daripada Umno, sudah tentu beliau antara salah seorang penerimanya.
 
"Beliau (Maszlee) dakwa pemimpin PAS makin mewah. Itu kerana beliau percaya kononnya PAS terima dedak daripada Umno. Sedangkan kita sudah menafikannya dan mengambil tindakan pihak yang mendakwa PAS mendapat dedak.
 
"Tak cukup kita nafikan mereka tidak percaya. Soal dedak itu sudah lama namun masih juga berlaku (disebut). Saya sebagai salah seorang pemimpin tertinggi PAS pun tidak pernah terima dedak itu. Kalaulah terima dedak, mestilah dibahagi, takkan nak makan seorang," katanya.
 
PAS sebelum ini mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Datuk Husam Musa yang mendakwa parti itu menerima dana sebanyak RM90 juta daripada Umno, sebagaimana didedahkan Sarawak Report.
 
Kononnya pemberian dedak itu disalurkan menerusi sebuah bank tempatan, Affin Bank.
 
Beberapa pimpinan PAS sebelum ini menafikan tuduhan yang disuarakan bekas naib presiden parti itu.
 
Reaksi Mahfodz itu menyusul selepas Maszlee pada hari ini mendakwa penyokong dan pengundi PAS semakin keliru dengan kemesraan parti itu bersama Umno meskipun parti yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak itu dihimpit isu rasuah dan korupsi.
 
Beliau menyebut tiga perkara yang menyumbang kepada kekeliruan sokongan tersebut iaitu kemewahan yang dikecapi sesetengah ulama dan pemimpin PAS, sikap keterlaluan pemimpin parti berkenaan yang suka melabel dan mencaci rakan Pakatan Harapan (PH) dan kunjungan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke Iran tidak lama dahulu.
 
PAS pertahan diri difitnah
 
Menepis tuduhan itu juga, Mahfodz berkata dua parti komponen PH, iaitu DAP dan Amanah juga sering mengkritik PAS selepas keengganan parti itu mengadakan kerjasama. 
 
"PH bukan pakatan dalam PAS, kita tidak masuk PH. Jadi mengapa PAS sahaja dikatakan melabel PH, sedangkan ahli-ahli PH, baik Amanah, DAP pun selalu menghentam PAS. Kita 'defensive', cuba pertahankan tuduhan itu. 
 
"Dan terbaru sebagaimana didakwa Naib Presiden Amanah, Salahuddin Ayub bahawa PAS sudah berpecah. Separuh daripada ahli-ahli PAS menyertai Amanah, ini tidak betul. Kita beritahu tentang tuduhan berkenaan kerana hingga sekarang pun ahli-ahli PAS melebih 1 juta," ujarnya.
 
Sementara itu, merujuk kepada pemergian Hadi ke Iran baru-baru ini ketika negara ini bergolak dalam peperangan sehingga dituduh bersekongkol dengan Presiden Syria, Bashar Al-Assad, Mahfodz menjelaskan ahli-ahli PAS memahami asas tujuan ketuanya ke sana.
 
"Apabila timbul soal sedemikian, Hadi sudah beri penjelasan kepada ahli-ahli PAS dan mereka tidak keliru. Apabila dipersoalkan oleh Persatuan Ulama Dunia, Hadi menjelaskan pemergiannya adalah atas nama Presiden PAS, bukan atas mewakili persatuan itu," tegas Mahfodz lagi.
 
Sehubungan itu Mahfodz berkata dakwaan Maszlee itu seolah-olah sengaja mewujudkan kekeliruan di kalangan ahli-ahli parti sedangkan ia tidak pernah berlaku

Tiada ulasan: