HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Februari 2017

Mahfuz bimbang Pas semakin mengecut




 
Oleh Arif Atan

Satu-satunya pemimpin Pas yang terus hadir dalam program anjuran Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mahfuz Omar menyatakan kebimbangannya tentang situasi semasa partinya pada masa ini.

Beliau menyifatkan Pas semakin mengecut apabila wujud kecenderungan ahli yang mengambil sikap berdiam diri untuk tidak aktif dalam program parti.

"Saya bimbang dengan gelombang (penolakan kepada Umno-BN) yang berlaku pada masa ini, berlaku pula penguncupan dari sudut keaktifan ahli apabila ada yang menyepikan diri.

"Bila ada ahli yang mula tidak mahu aktif, ini bermakna Pas semakin mengecut. Dengan gelombang Umno-BN akan kalah, Pas boleh terpinggir khususnya di negeri Kedah," tegasnya dalam Ceramah Perdana anjuran Pakatan Harapan dan Bersatu di Pekan Bukit Pinang, Kepala Batas, Alor Setar malam tadi.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga bersimpati dengan ahli-ahli Pas yang selama ini berusaha memajukan parti tersebut untuk mengalahkan
Umno-BN.

"Saya nak sebut pada ahli-ahli Pas di bawah ini yang kadang-kadang tidak mahu melihat luas. Saya berdiri (di pentas Pakatan Harapan dan PPBM) adalah kerana rakyat, demi negara dan kerana Allah SWT. Apa pasal saya tak keluar (Pas)? Saya berusaha untuk menyelamatkan Pas.

"Walaupun ada orang 'ligan' suruh saya keluar (Pas), saya tetap sayang parti saya kerana saya bina sekian lama bersama-sama rakan-rakan yang telah pergi (keluar parti).

"Saya kasihan dengan orang-orang Pas yang di bawah yang selama ini bertungkus-lumus membentuk parti ini bagi mengambil alih tampuk pemerintahan negara ini. Saya tidak mahu melihat Pas terpinggir daripada arus perdana politik negara pada pilihan raya umum akan datang," tegas mantan Ketua Penerangan Pas itu.

Sehubungan itu, Mahfuz menggesa supaya ahli-ahli Pas bersuara kepada pemimpin mereka supaya kembali kepada persefahaman gabungan parti pembangkang yang kukuh menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

"Saya harap ahli-ahli Pas menyeru pimpinan-pimpinan mereka untuk harus kembali bersama. Lupakan titik-bengik tentang DAP dan Amanah. Amanah dan Bersatu wadah baru. Kalau dengan PKR pun letak syarat tinggalkan Amanah, DAP baru kami (Pas) mahu kerjasama, takkanlah kita letak syarat-syarat sukar untuk orang lain penuhi.

"Akhirnya, orang lain bergabung, Pas akan terpinggir daripada arus politik pembangkang di negara ini," ujarnya yang juga bekas Ketua Whip Pas di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut kekuatan Pas, Mahfuz mengakui partinya memiliki struktur yang mantap serta ahli yang ramai berbanding parti pembangkang lain memandangkan sudah lama berakar umbi di negara ini.

"Tetapi struktur parti, ahli yang ramai, sorang-sorang (lawan Umno-BN) saja tak mampu meraih kemenangan besar dalam pilihan raya. Kita mesti mendapat sokongan mereka dari di luar parti mahupun mereka yang duduk di parti lawan.

"Sebab itu gabungan persefahaman politik yang dibawa oleh Ustaz Fadzil Noor dan Tuan Guru Nik Aziz satu yang sangat baik untuk diteruskan bagi memastikan Pas mampu membawa perubahan kepada masa depan negara kita," jelasnya.

Beliau turut mengingatkan kehadiran peserta yang ramai pada program anjuran Pas sebelum ini tidak menjamin kemenangan parti itu pada pilihan raya.

"Saya ingat lagi tahun 2012, Himpunan Hijau di Putrajaya di Stadium Darul Aman. Tidak kurang 80,000 orang hadir berdasarkan antena Celcom hingga 'jammed' komunikasi ketika itu.

"Bila PRU-13, kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui Pas kalah, jatuh. Ini yang harus difikirkan pimpinan dan ahli parti untuk melihat apa yang kita patut lakukan.

"Saya harap dengan kekuatan Pas digabung dengan kekuatan PKR, Amanah, DAP kita mampu mengalahklan Umno-BN. Ini soal rakyat. Kesan besar yang ditanggung adalah rakyat. Apakah kita mahu menghadapi sumpah rakyat? Rakyat akan menyumpah dan menyampah kepada parti-parti politik," tegas Mahfuz lagi.

Pas kebelakangan ini dilihat semakin rapat dengan Umno-BN termasuk terbaharu sekapal dengan pemimpin parti korup itu dalam misi bantuan kepada etnik Rohingya baru-baru ini.

Sementara itu, dalam program yang turut disiar secara langsung di laman sosial Facebook itu, Mahfuz turut menyaksikan majlis penyerahan permohonan keahlian dari empat cawangan baharu Amanah dan empat cawangan Bersatu di Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Pinang yang terletak dalam Parlimen yang diwakilinya.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub dan Timbalan Presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir menerima permohonan itu bagi parti masing-masing.


Tiada ulasan: