Timbalan Menteri Pengangkutan, Ab Aziz Kaprawi menyifatkan warkah terbuka Muhyiddin itu sebagai satu tindakan yang telah mengiyakan titah Sultan Johor bahawa dirinya adalah seorang yang angkuh dan sombong.
KUALA LUMPUR: Surat terbuka Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Muhyiddin Yassin ibarat mencabar Istana Johor dan teguran yang dilontarkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar terhadapnya tidak dipandang serius oleh Muhyiddin.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Ab Aziz Kaprawi menyifatkan warkah terbuka Muhyiddin itu sebagai satu tindakan yang telah mengiyakan titah Sultan Johor bahawa dirinya adalah seorang yang angkuh dan sombong.
“Teguran tersebut langsung tidak mahu dipandang secara serius oleh Muhyiddin malahan, warkah ini dilihat seolah-olah mahu mencabar pihak istana,” kata Aziz, memetik kenyataan di laman Facebook miliknya.
Aziz yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, Muhyiddin seolah-olah seperti ayam yang berkokok berderai-derai tetapi ekor bergemulangan dengan tahi yang mana beliau cuba sembunyikan dosa-dosa lampau dengan manyatakan jasa-jasa yang telah dilakukan.
” Saya tidak mahu membuka lebih banyak pekung Muhyiddin tetapi cukuplah sebagai bukti yang beliau hanya seperti mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih,” kata Aziz lagi.
Ketua Umno Bahagian Sri Gading itu berkata, dakwaan Muhyiddin mengatakan Perdana Menteri Najib Razak melakukan kerosakan dan kemungkaran juga dapat disangkal apabila Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, mengadakan lawatan ke negara kita serta berjumpa dengan Najib.
“Terdapat pelbagai lagi usaha Najib telah lakukan melalui program transformasi yang telah mendapat hasil yang positif serta memacu negara ke arah kemajuan.
“Maka, saya ingin bertanya kepada Muhyiddin di mana letaknya kerosakan dan kemungkaran yang dilakukan oleh perdana menteri?” soalnya.
“Janganlah menabur fitnah, bersifat angkuh dan sombong akibat cita-cita politik yang tidak kesampaian. Kita boleh berlainan pendapat tetapi biarlah berpolitik secara matang dan progresif yang akhirnya memberi khidmat dan mendatangkan manfaat kepada rakyat.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan