HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 Februari 2017

Agen saraf VX diguna dalam pembunuhan beramai-ramai Halabja

ANTARAPOS.COM
 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Agen saraf VX yang digunakan dalam pembunuhan Kim Jong-nam di Malaysia pada 13 Februari lalu, dilaporkan telah digunakan secara meluas semasa pembunuhan beramai-ramai Halabja di Iraq oleh Saddam Hussein pada 1988. 
 
Menurut pelbagai laporan berita, pada 16 Mac tahun itu, pesawat-pesawat Iraq menggempur bandar kaum Kurdish Halabja dengan menggugurkan kanister senjata kimia termasuk VX menyebabkan 3,500 hingga 5,000 orang maut dalam masa beberapa minit. 
 
Sebanyak 7,000 hingga 10,000 orang lagi dilaporkan cedera, cacat atau mengalami masalah kesihatan jangka panjang. 
 
Insiden itu, yang secara rasmi ditakrifkan oleh Tribunal Tertinggi Jenayah Iraq sebagai pembunuhan beramai-ramai terhadap kaum Kurdish di Iraq, masih kekal sebagai serangan senjata kimia terbesar dalam sejarah ditujukan terhadap kawasan populasi awam. 
 
Rejim Presiden Iraq ketika itu dilaporkan telah melakukan antara kekejaman paling dahsyat dalam era moden dalam memerangi kaum Kurdish dan kumpulan etnik lain di Utara Iraq. 
 
Isu agen saraf VX muncul di Malaysia apabila Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mendedahkan bahawa VX ditemukan setelah analisa awal ke atas calitan kering pada mukosa mata dan muka mangsa yang diambil semasa siasatan terhadap pembunuhan Jong-nam. 
 
Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 13 Februari untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila tiba-tiba dua wanita yang muncul di hadapannya menyapu cecair beracun menggunakan tangan pada mukanya.
 
Jong-nam meminta bantuan di kaunter khidmat pelanggan di klia2 dan segera dikejarkan ke Hospital Putrajaya tetapi meninggal dunia dalam perjalanan. 
 
Beliau tiba di Malaysia pada 6 Februari dan menggunakan pasport tertera nama Kim Chol. 
 
Agen saraf VX dilaporkan mungkin telah digunakan sebelumnya semasa perang Iran-Iraq pada 1980-an.
 
Penggunaan satu lagi agen saraf yang membawa maut, Sarin, dilaporkan berlaku dalam serangan ke atas kawasan pinggir Ghouta, dekat Damsyik, Syria yang dikuasai puak pemberontak pada 21 Ogos 2013. 
 
Sarin dilaporkan digunakan dalam serangan roket darat ke darat yang membunuh kira-kira 1,000 penduduk di sana. 
 
Laporan PBB berkata sampel yang ditemui oleh makmal Organisation for the Prohibition of Chemical Weapons mengandungi agen saraf sarin, dijumpai daripada kebanyakan roket atau serpihan roket yang diperiksa.
 
 

Tiada ulasan: