Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali berkata Dr M sepatutnya dicontohi pelbagai pemimpin.
KUALA LUMPUR: Masih menerima tentangan hebat walaupun telah bekerjasama dengan parti pembangkang, bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sepatutnya dijadikan tokoh yang perlu dicontohi kerana berani berdepan dengan pihak yang tidak berpuas hati dengannya.
Kata Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, ciri-ciri Dr M ini tidak dimiliki oleh pemimpin dalam negara termasuk Perdana Menteri Najib Razak yang didakwanya hanya berani bersemuka dengan penyokongnya sahaja.
“Saya melihat ini seorang tokoh yang bagi saya bersedia berdepan termasuk dengan pengkritik-pengkritiknya.
“Bukan semua pihak atau individu ada kekuatan itu. Sebagai pemimpin kita jangan berjumpa dengan penyokong dan penerima dedak sahaja.
“Ini satu ciri-ciri yang tidak ada dalam banyak pemimpin lihat sahaja dengan PM (Najib Razak) adakah dia bersedia berdepan dengan pengkritiknya? Dalam Parlimen atau di luar?,” katanya kepada wartawan.
Beliau terdahulu melancarkan buku tulisannya yang bertajuk ‘Membangun bangsa’ di semuah pusat membeli belah di ibu kota.
Dr M yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia ( PPBM) ketika hadir di majlis Konvensyen Reformis di Shah Alam awal pagi tadi menerima sorakan dan ejekan daripada orang ramai.
Beliau hadir walaupun tidak tersenarai sebagai mengejutkan hadirin.
Orang ramai yang menyedari kehadiran bekas Perdana Menteri itu dilaporkan menjerit ‘Reformis’ dan ‘Bebas Anwar’ selain menjerit ‘Firaun’ yang merujuk kepada Dr M.
Walaubagaimanapun moderator berjaya mengawal keadaan.
Kata Azmin lagi, Dr M adalah pemimpin yang sepatutnya dimiliki oleh negara yang mengamalkan demokrasi dan meraih pelbagai pandangan.
“Sebab kita sebuah negara yang mahu mengamalkan demokrasi kita mahu mengangkat pemimpin yang demokrat yang bersedia menerima pandangan yang berbeza, mesti boleh mendengar pandangan lain dan saya kira ini satu contoh yang menunjukkan walaupun kita tidak setuju dengan seseorang tetapi dia sedia berdepan,” menurut Azmin lagi.
Azmin sementara itu menyifatkan keberanian Dr M walaupun diperlakukan seperti itu adalah penghormatan terhadap dirinya memiliki kekuatan untuk bukan hanya bersama-sama individu atau kelompok yang menyokongnya.
“Bagi saya ini satu penghormatan terhadap keupayaan Tun M untuk berdepan dengan pengkritik.
“Bagi saya ini satu kekuatan bukan kelemahan dan saya berharap lebih banyak pemimpin yang berani berdepan dengan pengkritik-pengkritik dan bukan hanya bergelumang dengan pemakan dedak sahaja,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan