PAS secara konsisten memperjuangan kedaulatan Malaysia dari sebarang pencerobohan dan gangguan dari mana-mana pihak.
KUALA LUMPUR: Presiden PAS Abdul Hadi Awang memberikan sokongan kepada pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan dalam menguruskan isu pembunuhan Kim Jong-nam.
Abdul Hadi berkata, PAS secara konsisten memperjuangan kedaulatan Malaysia dari sebarang pencerobohan dan gangguan dari mana-mana pihak.
“PAS ingin menyatakan sokongan di atas ketegasan pihak berkuasa negara kita terutamanya pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Luar Negeri Malaysia dalam menangani isu pembunuhan individu dari Korea Utara pada 13 Februari 2017 lalu.
“PAS juga senada bahawa siasatan kes jenayah berkenaan semestinya dilaksanakan dengan merujuk pada undang-undang dan tatacara yang ada dalam negara di mana kes pembunuhan itu berlaku,” katanya, dalam satu kenyataan memetik Harakahdaily, hari ini.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, PAS melihat isu ini mempunyai sudutnya yang tersendiri apabila wujudnya cubaan campur tangan dari pihak Korea Utara menerusi perwakilan mereka di Malaysia yang boleh memburukkan lagi suasana hubungan diplomatik yang ada pada waktu ini, sebagaimana yang dilaporkan oleh media massa dalam dan luar negara.
“Isu geo-politik dan percaturan dalaman negara yang dikatakan terlibat adalah tidak wajar menjadi alasan mana-mana pihak dari Korea Utara untuk mengganggu siasatan yang sedang dijalankan secara bebas dan profesional oleh pihak PDRM,” katanya lagi.
Jong-nam dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2), pada 13 Feb lepas.
Jong Nam, yang menggunakan nama Kim Chol, dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
Ekoran itu Duta Korea Utara Kang Chol mendakwa Malaysia “cuba menyembunyikan sesuatu” dalam insiden pembunuhan ini dalam masa sama cuba menuduh Malaysia bersengkongkol dengan Korea Selatan.
Wisma Putra yang menafikannya memanggil Kang Chol untuk menghadap dan kemudian beliau pula mendakwa Pyongyang mempunyai keraguan terhadap siasatan Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan