SHAH ALAM - "Nak memperlekehkan saya, silalah. Nak main label-melabel, silalah. Nak panggil saya budak hingusan, silalah," ini respons Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bila digelar tin kosong yang kehabisan idea setiap kali menyuarakan isu.
Enggan tunduk kalah dengan kritikan Pemuda Umno terhadapnya, Syed Saddiq berkata, beliau sudah pun mengesahkan kehadirannya kepada pihak Sinar Harian untuk sesi debat bersama Pemuda Umno.
"Sebenci-benci saya kepada Najib (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak) dan mereka yang bersekongkol dengannya, jarang sekali saya nak gantikan hujah yang berlandaskan fakta dengan budaya label-melabel.
"Biar rakyat yang menilai hujah siapa yang betul. Saya tidak sabar nak lihat siapa di antara Pemimpin Umno yang akan tampil mempertahankan tajuk perdebatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pemuda Umno hari ini membidas Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan menggelarkan pemimpin muda itu tin kosong yang kekeringan idea.
Ini kerana menurut Exco Pemuda Umno, Shahril Hamdan, Syed Saddiq sering menggunakan badan pelaburan kerajaan, 1Malaysian Development Berhad (1MDB) sebagai modal ketika membangkitkan sesuatu isu.
[ARTIKEL BERKAITAN: Syed Saddiq tin kosong yang muflis idea]
Syed Saddiq dalam masa sama turut mencabar Pemuda Umno untuk membuktikan dakwaannya terhadap BN dengan skandal rasuah berskala besar.
"Sila buktikan saya salah.
"Rakyat Malaysia yang tercinta akan menilai siapa yang berkata benar dan siapa yang menipu," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan