HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 Februari 2017

Waris Kim Jong-nam akan ke Malaysia, Khalid nafi kenyataan timbalannya

Berita Daily Staff

Menurutnya, kenyataan Noor Rashid telah disalah petik oleh media

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar menepis kenyataan timbalannya, Noor Rashid Ibrahim bahawa waris mendiang Kim Jong-nam akan tiba di negara ini dalam masa beberapa hari lagi.

Menurutnya, kenyataan Noor Rashid telah disalah petik oleh media.

“Tidak, tidak benar. Jangan dengar khabar angin, jangan jadi penyebar khabar angin.

“Malaysia juga memutuskan untuk tidak menghantar wakil ke Macau bagi tujuan mendapatkan DNA,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Klia) sebelum berlepas bagi menunaikan umrah.

Dalam pada itu, Khalid turut menafikan khabar angin Malaysia telah menghubungi kerajaan China dan merancang untuk berbuat demikian.

Tambahnya, Kedutaan Korea Utara masih belum beri maklum balas kepada polis, selepas polis Malaysia untuk meminta waris Jong-nam datang memberikan sampel DNA untuk proses pengenalan.

Terdahulu, News Straits Times, melaporkan Noor Rashid dipetik berkata sebagai polis menjangkakan waris Jong-nam akan tiba ke Kuala Lumpur dalam masa terdekat bagi membantu mengenal pasti mayatnya.

Jelas Noor Rashid, waris berkenaan itu mungkin seseorang yang tinggal ‘tidak jauh’ dari Malaysia.

Mayat Jong-nam ditempatkan di Jabatan Forensik Hospital Kua Lumpur sejak pembunuhannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Februari lalu.

Tiada ulasan: